

Saudara dan saudari harus faham bahawa sebagai penjawat awam kita
berkhidmat kepada Kerajaan yang memerintah
“Government of the day”
.
Penjawat awam bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan
terbaik kepada Kerajaan yang memerintah. Kita perlu mempunyai rasa
tanggungjawab kepada Kerajaan dan cinta kepada negara dalam
melaksanakan tugas. Ekspresi Negaraku telah dilancarkan untuk menyemai,
memupuk dan menghayati semangat sayang serta cintakan tanah air.
Semangat Negaraku sepatutnya sudah sebati dalam diri setiap daripada
kita kerana ungkapan “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” merupakan
tonggak utama kepada Rukun Negara. Sebagai penjawat awam, ungkapan
ini membawa erti ketaatan kepada negara, kewajipan menyimpan segala
rahsia kerajaan dan menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara
melebihi kepentingan peribadi.
“Kesetiaan kepada Raja dan Negara” berkait rapat dengan ikrar Aku Janji
penjawat awam dan lafaz frasa “Saya Yang Menurut Perintah” (SYMP).
Apabila kita menyebut SYMP, perkara ini merujuk kepada tindakan kita
yang sentiasa tertakluk kepada peraturan ditetapkan di bawah Perkara 132
Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan-peraturan Pegawai Awam
(Kelakuan dan Tatatertib) 1993 serta Pekeliling Perkhidmatan. Nilai seperti
taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan, bersifat
amanah dan menyimpan rahsia kerajaan, semuanya termaktub di dalam
Perlembagaan Malaysia.
Saya percaya saudara dan saudari datang daripada latar belakang keluarga
dan masyarakat yang pelbagai, ada yang dari bandar, ada juga dari luar
bandar, ada yang dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Namun
demikian, saya juga turut percaya bahawa saudara dan saudari sudah
cukup matang dan terbuka dalam mengekalkan kesatuan di kalangan rakan
peserta DPA yang lain memandangkan asas kejayaan sebenar dalam
sesebuah masyarakat mahupun organisasi adalah kesatuan atau
“unity”.
Ini adalah kerana tanpa kesatuan, pelbagai kekurangan dan kelemahan
akan mengancam kemajuan sesebuah organisasi bahkan ia turut
berpotensi untuk menjadikan sesebuah organisasi tidak kompetitif dalam
kehidupan semasa yang serba mencabar dan penuh dengan persaingan.
48