

Pada 21 Oktober 2016, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah
memperkenalkan wahana nasional baharu, iaitu Transformasi Nasional
2050 atau TN50 ketika pembentangan Bajet Tahun 2017. TN50 merupakan
kesinambungan kepada Wawasan 2020 yang mempunyai ilham untuk
membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar berwibawa dari
segi ekonomi, sosial dan memiliki minda
par excellence.
Kita menerima hakikat bahawa perkhidmatan kerajaan kini perlu lebih
cakna, peka dan terbuka. Zaman Kerajaan yang menentukan segalanya
untuk rakyat sudah pun berlalu. Kini, pandangan serta buah fikiran rakyat
adalah yang utama dalam menggarap setiap agenda pembangunan tanah
air. Maka TN50 merupakan transformasi negara berteraskan usaha sama
antara kerajaan dan penglibatan rakyat
(bottom-up approach)
. Maka kita
semua perlu bersama-sama membentuk negara pada tahun 2050
berdasarkan aspirasi rakyat Malaysia.
Dalam konteks membentuk masa hadapan dan peranan kita, Barack
Obama, Presiden Amerika yang ke-44 menyatakan
“We did not come to
fear the future. We came to shape it.”
Oleh itu, tahun 2017 sehingga 2019 dijadikan sebagai peringkat
persediaan, sebelum dasar TN50 didokumenkan. Pada peringkat ini,
pandangan serta idea bernas setiap lapisan masyarakat sama ada
golongan profesional, ilmuan, ahli politik, pelajar hatta rakyat biasa akan
didengari, dikumpul dan dianalisis. Fokus utama ialah tren urbanisasi, usia
penduduk, revolusi teknologi, kekurangan sumber, anjakan geopolitik dan
perubahan masyarakat.
Dialog Perdana TN50 merupakan acara sulong yang telah disampaikan
sendiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 19 Januari yang
lalu di Universiti Malaya. Iltizam Kerajaan memulakan wadah dialog ini
bersama-sama golongan belia jelas membuktikan komitmen Kerajaan
dalam mengambil berat saranan dan impian anak-anak muda. Lima tema
utama yang menjadi aspirasi belia adalah tenaga kerja dan pekerjaan,
persekitaran hidup, pendidikan, kerajaan dan penjawat awam dan
pemikiran dan tingkah laku.
47