

Secara tidak langsung, usaha ini dapat mengetengahkan bahasa Melayu di
mata masyarakat asing yang berminat untuk mempelajarinya.
Sudah tiba masanya untuk kita menyemak semula Pekeliling Perkhidmatan
Bilangan 9 Tahun 2011 mengenai Panduan Penggunaan Bahasa
Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam. Penstrukturan semula
Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan harus juga difikirkan
dengan merangkumkan beberapa jawatankuasa kecil mengikut tema
pendidikan, tempat awam, istilah dan persada antarabangsa bagi
memastikan kementerian-kementerian yang berkaitan berkolaborasi
menghasilkan projek agenda bahasa yang lebih fokus dan komprehensif di
samping mencapai sasaran khalayak yang lebih besar. Oleh itu, dalam hal
ini ia memerlukan kerjasama yang erat antara semua pihak untuk
memastikan matlamat pemerkasaan bahasa Melayu dapat direalisasikan.
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan
Peringkat Perkhidmatan Awam Malaysia, saya sentiasa menggalakkan
semua usaha untuk mengangkat dan menjulang Bahasa Melayu di dalam
negara dan arena antarabangsa.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih kepada semua Kementerian, Jabatan dan
Agensi termasuk di negeri kerana telah berjaya memeriahkan sambutan
Bulan Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam pada tahun ini. Penglibatan
penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi yang
memberangsangkan dalam semua program bahasa yang dianjurkan
mencerminkan bahawa kita masih teguh dalam memartabatkan bahasa
Melayu di dalam Perkhidmatan Awam. Mudah-mudahan semangat ini akan
berterusan pada masa-masa akan datang sebagai satu wadah perjuangan
menegakkan bahasa yang sewajarnya menjadi kebanggaan dalam
mempamer jati diri bangsa dan negara kita.
Akhir kata, ingatlah bahawa sesuatu bahasa akan lenyap dengan sendiri
apabila penutur jati bahasa berkenaan sudah tidak wujud lagi. Hal
sedemikian rupa bertepatan dengan peribahasa Melayu “Bahasa jiwa
bangsa. Hilang bahasa, lenyaplah bangsa”. Saya menyeru agar kita semua
berpadu untuk terus memelihara nilai dan kedaulatan Bahasa Melayu serta
meletakkannya di tempat yang selayaknya selaku Bahasa Kebangsaan dan
bahasa rasmi negara kita.
65