

menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan
negara bangsa.
Sebagai menyambut seruan dan gagasan Sambutan Bulan Bahasa
Kebangsaan, Jabatan Perkhidmatan Awam bersama-sama dengan rakan
strategik dari Dewan Bahasa dan Pustaka menampilkan Sasana Bahasa
sebagai wadah sokongan padu perkhidmatan awam menyokong
pembangunan tamadun bangsa melalui Bahasa Kebangsaan. Jika sebelum
ini, Jabatan Perkhidmatan Awam meriah meraikan kejayaan penjawat
awam dan organisasi dalam Majlis Genta Bahasa, kini, Jabatan
Perkhidmatan Awam memancang Sasana Bahasa sebagai wahana ilmu
para perujuk bahasa samada dalam kalangan Munsyi Muda Bahasa
mahupun penggiat bahasa yang telah mantap kefahaman bahasanya.
Kerana itu, pesan saya kepada yang muda, janganlah kita hanya kaya
dengan ilmu bahasa tetapi haruslah juga kaya budi bahasa. Oleh itu,
`belayarlah bernakhoda, berjalan dengan yang tua, berkata dengan yang
bijaksana’.
Tema Sasana Bahasa ialah Bahasa Asas Negara Bangsa. Tema ini amat
bertepatan dengan iltizam untuk menzahirkan kemegahan kepada
penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai tanda jati diri bangsa. Saranan
keramat ini senada dengan hasrat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri
Malaysia agar bahasa Melayu akan menempa pencapaiannya sebagai
bahasa terulung di rantau ASEAN dan menjadi salah satu bahasa
pengantara utama di peringkat global.
Negara kita telahpun mencapai banyak kejayaan. Seperti contohnya,
berdasarkan Prestasi Daya Saing Dunia 2017-2018, Malaysia telah
menduduki tempat ke-23 daripada 25 negara terbaik di dunia. Dari segi
Indeks Keamanan Global 2017, Malaysia disenaraikan sebagai negara
ke-29 daripada 163 negara yang paling aman di dunia. Manakala
berdasarkan Indeks Kemahiran Berbahasa Inggeris 2017, Malaysia diiktiraf
sebagai negara ke-12 daripada 72 buah negara di dunia yang warganya
mahir berbahasa Inggeris. Walaupun Malaysia telah mengapai
kejayaan-kejayaan yang hebat di peringkat antarabangsa, namun
kepentingan bahasa Melayu tetap diutamakan dan sentiasa diberi
perhatian serius.
61