

07
Justeru, saya menyeru warga Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menjadi
pemimpin yang boleh diteladani oleh anak buah dan pengikut-pengikut
yang ada. Kita telah dikurniakan akal dan lidah yang membolehkan kita
menyusun kata, merungkai makna, mengungkap pandangan dan
menzahirkan pendapat, maka gunakanlah nikmat tersebut untuk
membentuk diri sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan disegani.
Memperkatakan mengenai perkara ini, saya terpanggil untuk turut
menyentuh mengenai amalan atau tindakan segelintir penjawat awam yang
bertindak sebagai ‘pejuang papan kekunci’ atau
keyboard warrior.
Kumpulan ini gemar membuat catatan negatif atau kata-kata yang kurang
baik mengenai perkhidmatan awam mahupun Kerajaan dalam pelbagai
medium media sosial. Kata-kata atau berita yang dinyatakan tersebut yang
belum tentu kesahihannya kemudiannya menjadi tular dalam masyarakat.
Saya berharap agar warga JPA tidak menjulang budaya konfrontasi dan
berusaha untuk meningkatkan amalan konsultasi. Dalam hubungan ini,
saya menyeru agar warga JPA tidak ada yang terlibat dalam perkara yang
tidak sihat seumpama ini. Semoga kita tergolong dalam kumpulan orang
yang suka bercakap yang baik-baik atau lebih baik berdiam diri daripada
berkata-kata yang boleh memudaratkan diri sendiri.
Imam Abu Hatim Ibnu Hibban Al-Busti dalam kitabnya, Raudhah Al-‘Uqala
wa Nazhah Al-Fudhala pernah berkata:
“Lisan seorang yang berakal berada di bawah kendali hatinya. Ketika dia
hendak berbicara, dia akan bertanya terlebih dahulu kepada hatinya.
Apabila perkataan tersebut bermanfaat bagi dirinya maka dia akan
bebicara, tetapi apabila tidak bermanfaat maka dia akan diam. Sementara
orang yang tidak cerdik, hatinya berada di bawah kendali lisannya. Dia akan
berbicara apa saja yang ingin diucapkan oleh lisannya. Seseorang yang
tidak berupaya menjaga lidahnya bererti tidak faham agamanya.”
Apa yang kita tanam. Itu yang akan kita tuai. Oleh itu, marilah kita fikir
yang baik-baik, berbicara yang baik-baik. Tanamkan juga ideologi hebat
agar akhirnya pemikiran atau kepercayaan ini mampu menjadi titian kepada
kegemilangan organisasi kita. Insya Allah yang baik-baik dan yang
hebat-hebat sahaja yang akan datang kepada kita.