

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan terima
kasih kepada Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar atas
penganjuran majlis amanat yang penuh bermakna ini. Tema perhimpunan
kita pada pagi ini ialah ADICITA BITARA SIRAT KEGEMILANGAN. Saya
rasa ramai yang tertanya-tanya apa maksud perkataan “Adicita” itu? ‘Pucuk
dicita ulam mendatang’ pernahlah dengar kan? ADICITA BITARA SIRAT
KEGEMILANGAN bermaksud ‘Ideologi yang tiada taranya merupakan sirat
atau jambatan menuju kegemilangan.’
Dalam konteks ini, sesungguhnya pemilihan tema perhimpunan pagi ini
adalah bertepatan dengan hasrat saya yang ingin mencatur pemikiran
warga JPA ke arah penjanaan adicita ataupun Ideologi yakni kepercayaan
atau pegangan kita semua yang bitara, tiada tolok bandingnya, agar ianya
menjadi sirat atau jambatan kepada kejayaan matlamat dan misi organisasi
ini, yang sudah pastinya, disasarkan ke arah kegemilangan.
Seperti yang para hadirin telah sedia maklum, misi JPA ialah Memacu dan
Meneraju Pembangunan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam. Oleh
kerana itu, warga JPA seharusnyalah memiliki elemen pemikiran kreatif,
gaya kepimpinan terpuji, prakarsa transformatif, idea inovasi, swadaya dan
budi bahasa yang bernilai tinggi, terhimpun dalam satu pakej dan diterap
dalam diri, bagi memastikan kita berupaya memacu dan meneraju
pembangunan sumber manusia Perkhidmatan Awam.
Bagaimanalah kita hendak memacu dan meneraju jika diri kita sendiri tiada
sifat, ilmu dan jati diri yang lebih baik daripada individu atau agensi yang
ingin dipacu dan diterajui? Saya sama sekali tidak mahu JPA dikatakan
sebagai agensi pusat yang hanya pandai menyuruh orang membuat
sesuatu tetapi JPA sebagai organisasi, sukar untuk melaksanakannya
seperti kata Peribahasa Melayu ‘apa perduli pada kukuran, nyiur juga yang
akan habis’.
Dengan kata lain, JPA tidak harus dilihat sebagai agensi yang hanya pandai
membangunkan dasar tetapi gagal mengaplikasikannya secara telus dan
adil. Kerana itu, untuk bertindak sebagai pemacu dan peneraju, warga JPA
harus bersiapsiaga dengan ilmu dan kemahiran dan bertindak sebagai
pemangkin kepada pembangunan sumber manusia di peringkat
Kementerian, Jabatan dan agensi lain.
03