JPA Daily Buzz - Edisi 13/2025
m/s 3 Selain kesan individu, reputasi dan imej organisasi turut tercalar apabila aduan buli tular di media sosial dan secara langsung menggugat kepercayaan rakyat serta pihak berkepentingan terhadap integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam. Menyedari keseriusan isu ini, Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2024 telah memperuntukkan perbuatan buli sebagai kesalahan khusus di bawah Seksyen 507B hingga 507G, dengan hukuman lebih berat bagi kes yang menyebabkan mangsa cuba membunuh diri atau membawa kepada kematian. Langkah ini jelas memperlihatkan komitmen Kerajaan untuk menoktahkan budaya buli di Malaysia. I ntervensi Buli Intervensi psikologi bagi mangsa buli akan memberi tumpuan kepada pemulihan emosi dan meningkatkan daya tindak melalui teknik dan pendekatan psikologi. Sokongan emosi turut penting dalam mempercepat pemulihan dan mencegah trauma berpanjangan. Manakala dalam konteks organisasi, intervensi melibatkan pelaksanaan polisi anti-buli, saluran aduan berkesan dan latihan kesedaran psikologi bagi mewujudkan budaya kerja selamat dan positif. Penilaian gangguan psikososial juga boleh dilaksanakan secara berkala bagi membantu mengenal pasti risiko dan memperkukuh kesejahteraan seluruh warga kerja. Peranan Pegawai Awam: Jangan Diamkan Diri Keberanian untuk bersuara merupakan langkah pertama yang paling penting ke arah pemulihan dan keadilan. Jangan biarkan “senyuman di luar tetapi derita di dalam” menjadi topeng yang menutup luka emosi. Tindakan berdiam diri akan menambah penderitaan dan meningkatkan risiko kepada masalah psikologi yang serius termasuk kecenderungan untuk menamatkan nyawa sendiri. Mereka yang menjadi mangsa buli disarankan untuk menyimpan segala bukti seperti e-mel, mesej atau laporan tugasan yang menunjukkan corak perlakuan buli. Sekiranya organisasi gagal mengambil tindakan maka aduan wajar dikemukakan kepada Ketua Jabatan atau pihak berkuasa berkaitan agar isu buli ini tidak terus berlarutan. Pada masa yang sama, mangsa perlu mencari sokongan emosi daripada rakan sekerja yang dipercayai atau mendapatkan khidmat profesional daripada Pegawai Psikologi bagi membantu mengurus tekanan, memulihkan keyakinan diri dan membina kekuatan mental untuk terus bangkit menghadapi situasi tersebut. Peranan Ketua Jabatan Ketua Jabatan memainkan peranan utama dalam memastikan suasana kerja yang sihat dan selamat. Polisi anti-buli yang jelas perlu diwujudkan termasuk mekanisme aduan yang telus dan bebas daripada campur tangan pihak berkepentingan. Program kesedaran dan pencegahan berkaitan buli juga perlu dilaksanakan bagi memberi kefahaman dan membanteras tingkah laku buli. Selain itu, budaya buli yang sedang berlaku dalam organisasi perlu dibendung dan ditangani dengan serius melalui pendekatan psikologi dan hukuman yang lebih tegas.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy