JPA Daily Buzz - Edisi 13/2025

m/s 2 Kajian Bahagian Pengurusan Psikologi (2025) mendapati seramai 53,209 atau 18 peratus daripada 296,462 pegawai awam mengaku pernah menjadi mangsa buli di tempat kerja. Angka ini memberikan amaran jelas bahawa isu buli bukan lagi kes terpencil sebaliknya fenomena serius yang menuntut perhatian dasar, tindakan pengurusan tegas serta sokongan psikologi yang sistematik. Selari dengan itu, dapatan Zakaria et al. (2020) menunjukkan lebih 30 peratus pekerja sektor awam dan swasta pernah mengalami sekurang- kurangnya satu bentuk buli di tempat kerja. Fakta ini menunjukkan bahawa budaya buli di tempat kerja sedang menular secara senyap dan meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap kesejahteraan dan moral pekerja. Bentuk Buli di Organisasi Buli di tempat kerja boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti penghinaan lisan, tekanan emosi, pengasingan sosial, ancaman fizikal dan serangan siber. Ia juga merangkumi beban kerja tidak adil, penyalahgunaan kuasa serta budaya organisasi yang membiarkan perlakuan ini berterusan sehingga menjejaskan kesejahteraan dan produktiviti pekerja. Contohnya, seorang pegawai awam yang kerap diketepikan daripada mesyuarat atau tidak diberikan maklumat penting boleh dianggap sebagai mangsa buli. Dalam sesetengah kes, Ketua Jabatan atau penyelia menggunakan kuasa mereka untuk memberi tekanan tidak wajar seperti beban kerja berlebihan, ugutan penilaian buruk atau ancaman dikenakan tindakan tatatertib. Ini seiring dengan dapatan kajian oleh Einarsen et al. (2020) yang mendapati sebanyak 34 peratus kes buli di tempat kerja melibatkan manipulasi terhadap tugasan dan prestasi kerja. Kesan Terhadap Produktiviti dan Kesihatan Mental Buli di tempat kerja merupakan isu serius yang memberi kesan besar terhadap kesejahteraan individu dan produktiviti organisasi. Walaupun buli sering berlaku namun ia masih kurang difahami dan dilaporkan secara rasmi. Mangsa buli di tempat kerja lazimnya berhadapan dengan tekanan emosi yang serius, gangguan tidur, kehilangan motivasi dan kemerosotan semangat bekerja, sehingga ada yang terpaksa mengambil cuti panjang atau berhenti kerja semata-mata untuk memulihkan kesihatan mental yang terjejas. Kajian oleh Hassan et al. (2021) turut menunjukkan bahawa pegawai awam yang menjadi mangsa buli mencatat tahap tekanan kerja dan simptom burnout yang jauh lebih tinggi berbanding mereka yang tidak dibuli, Ini merupakan satu petunjuk jelas tentang impak psikologi yang mendalam akibat daripada perlakuan buli.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy