JPA Daily Buzz - Edisi 44 2026

m/s 2 Di perkhidmatan awam, ada satu perkara sedang berlaku: Yang tidak mendapat BDR, merasakan tidak adil. Yang mendapat BDR, juga merasakan tidak cukup. Apa sahaja keadaan, kita tetap mencari apa yang kurang dan mungkin kita jarang berhenti untuk melihat gambaran yang lebih besar. Setiap bulan, kita menerima gaji. Tanpa perlu memikirkan: adakah bulan hadapan masih ada pekerjaan; adakah gaji masih boleh dibayar; bagaimana untuk menanggung kos pekerja; atau sama ada perlu menutup operasi ketika krisis Sedangkan di luar sana, ramai yang berhadapan dengan ketidakpastian itu setiap hari. Namun kita masih mudah bersuara. Lebih membimbangkan, kadangkala: kita bercakap tanpa membaca; memberi pandangan tanpa analisis; dan mencari fakta untuk menyokong apa yang kita mahu percaya Bukan kerana kita tidak tahu tetapi kerana kita tidak berhenti untuk berfikir. Hakikatnya, amanah kita sebagai pegawai awam adalah besar . Berkhidmat untuk negara bukan sekadar melaksanakan tugas tetapi menjaga satu sistem yang saling berkait. Setiap tugas, sekecil mana pun, adalah sebahagian daripada satu “circle”. Jika satu bahagian terputus kesannya bukan hanya pada satu titik, tetapi kepada keseluruhan. Keputusan yang dibuat oleh pimpinan bergantung kepada fakta dan data yang kita sediakan. Jika fakta itu tidak tepat, keputusan akan tersasar. Jika data itu tidak lengkap, kesannya akan membesar. Contohnya: data bekalan beras yang tidak tepat; atau kehadiran program yang tidak direkodkan dengan betul Kesan akhirnya bukan sekadar angka. Ia boleh mempengaruhi dasar, perancangan, dan keputusan yang memberi kesan kepada ramai. Mungkin akhirnya, ini bukan tentang siapa betul atau siapa salah. Tetapi tentang kesedaran. Bahawa setiap perkara yang kita lakukan, setiap laporan, setiap angka dan setiap keputusan kecil, membentuk sesuatu yang lebih besar daripada diri kita sendiri. Seperti masa ia berjalan, sama ada kita sedar atau tidak. Masa tidak pernah berlalu dengan cepat. Tetapi cara kita hidup membuatkan ia terasa begitu. Mungkin selepas ini, apabila kita berkata, “cepatnya masa berlalu…” kita akan faham bahawa masa tidak pernah hilang tetapi bagaimana kita menggunakannya. Itulah yang benar-benar menentukan maknanya. Dr. Diyana Hassim Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy