KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 1 TAHUN 2001


 

SKIM PERKHIDMATAN PEMBANTU TADBIR (KEWANGAN)


TUJUAN

1.     Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan kerajaan mewujudkan skim perkhidmatan baru iaitu skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) bagi anggota yang menjalankan tugas-tugas kewangan sepenuh masa mulai 1 Januari 2001.


LATAR BELAKANG

2.     Tugas-tugas kewangan di peringkat Kumpulan Sokongan sebahagian besarnya adalah dikendalikan oleh Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) bersama-sama beberapa perkhidmatan lain seperti Penolong Pegawai Tadbir, Pembantu Akauntan dan lain-lain. Skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang digunapakai sekarang adalah seperti terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991. Anggota dalam perkhidmatan ini juga boleh ditukarkan ke jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang tidak menjalankan tugas-tugas kewangan.


SKIM PERKHIDMATAN BARU

3.     Bagi memantapkan lagi pengurusan kewangan, kerajaan bersetuju mewujudkan skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) yang akan digunapakai bagi anggota perkhidmatan awam untuk mengambil alih tugas-tugas kewangan sepenuh masa di peringkat Kumpulan Sokongan daripada Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi).

4.     Skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) diletakkan di bawah Klasifikasi Perkhidmatan Kewangan (W) dan mempunyai dua lapisan gred iaitu Gred W8, W7.

5.     Ketua Perkhidmatan bagi perkhidmatan ini ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi perkhidmatan Gunasama Am Persekutuan manakala bagi perkhidmatan Bukan Gunasama Am Persekutuan, Ketua Perkhidmatannya ialah Ketua Jabatan bagi Kementerian/Jabatan/Agensi yang berkenaan.

6.     Fungsi utama skim perkhidmatan baru ini ialah untuk menjalankan tugas-tugas kewangan di peringkat Kumpulan Sokongan dan bidang tugas kewangan ini meliputi aspek-aspek berikut:-

   (a) Pengurusan dan Kawalan Belanjawan
  (b) Pengurusan Kewangan Am
  (c) Pengurusan Terimaan
  (d) Pengurusan Perolehan Kerajaan
  (e) Pengurusan Bayaran Emolumen
  (f) Pengurusan Pembayaran
  (g) Pengurusan Akaun
  (h) Pengurusan Pelaburan dan Pinjaman

7.     Bidang tugas kewangan yang lengkap adalah seperti di Lampiran A dan penghuraian kerja Pembantu Tadbir (Kewangan) adalah seperti di Lampiran A1.

8.     Skim perkhidmatan baru Pembantu Tadbir (Kewangan) adalah seperti di Lampiran B dan contoh Iklan Jawatan bagi urusan pengambilan adalah seperti di Lampiran C. Manakala Jadual Gaji Matriks Gred W8 dan W7 adalah seperti di Lampiran D dan D1.

9.     Dengan berkuatkuasanya skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) ini maka tugas-tugas kewangan sepenuh masa tidak lagi boleh dilakukan oleh Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) tetapi menjadi tanggungjawab Pembantu Tadbir (Kewangan) sepenuhnya. Walau bagaimanapunpun bagi tugas-tugas kewangan yang bukan merupakan tugas sepenuh masa dan melibatkan tugas-tugas rencam yang lain maka tanggungjawab itu boleh terus dilakukan oleh Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi).


PELAKSANAAN

10.    Semua anggota Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N9 dan Gred N7 yang menjalankan tugas-tugas kewangan sepenuh masa adalah layak ditukar lantik ke perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W8 dan Gred W7 mengikut gred yang setaraf.


OPSYEN

11.    Pelaksanaan skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) dibuat melalui pemberian opsyen kepada anggota Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang sedang menjalankan tugas-tugas kewangan sepenuh masa. Opsyen akan ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Melantik melalui Ketua Perkhidmatan/Ketua Jabatan berkenaan. Anggota yang bersetuju memilih opsyen akan ditukar lantik ke skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) dan pemilihan yang dibuat adalah muktamad.

12.    Anggota yang terlibat diberi 30 hari mulai tarikh opsyen untuk membuat pilihan sama ada menerima atau menolak tawaran ini. Anggota yang tidak membuat sebarang opsyen atau gagal mengembalikan borang opsyen dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebab yang munasabah atau membuat opsyen dengan bersyarat akan dianggap sebagai tidak bersetuju untuk ditukar lantik ke perkhidmatan baru. Mereka akan kekal sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dan akan ditempatkan ke jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang lain yang tidak berkaitan dengan tugas-tugas kewangan.

13.    Tawaran opsyen ini hanya diberi kepada anggota yang bertaraf tetap dalam perkhidmatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) dan telah memilih tawaran opsyen Sistem Saraan Baru (SSB). Anggota lantikan sementara/kontrak/sambilan adalah tidak terlibat dengan urusan pemberian opsyen ini.

14.    Bagi maksud urusan pemberian opsyen, contoh Surat Tawaran, Syarat dan Peraturan Pertukaran Pelantikan dan Borang Pilihan Sendiri adalah seperti di Lampiran E, E1 dan E2.


KAEDAH PELARASAN GAJI

15.    Kaedah pelarasan gaji anggota adalah seperti berikut:-
  (a) kaedah tukar lantik ke dalam skim perkhidmatan baru ialah Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N9 dan Gred N7 diselaraskan ke Pembantu Tadbir (Kewangan) Gred W8 dan Gred W7 masing-masing mulai 1 Januari 2001;
     
  (b) gaji anggota diselaraskan ke matagaji tertinggi berhampiran mengikut Peringkat (P) gaji masing-masing dalam tanggagaji skim perkhidmatan baru sekiranya gaji dalam skim perkhidmatan lama adalah sama atau lebih tinggi daripada gaji permulaan dalam skim perkhidmatan baru; dan
     
  (c) anggota yang berada di matagaji maksimum dan mendapati gaji sekarang tidak dapat ditampung oleh mana-mana matagaji dalam skim perkhidmatan baru maka sifir pemindahan gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) hendaklah dipohon daripada Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
 

TARIKH PERGERAKAN GAJI

16.    Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) asal bagi anggota yang terlibat dalam urusan ini hendaklah diubah kepada satu TPG baru pada tahun berikutnya selepas pelaksanaan pelarasan gaji. TPG baru ialah mulai 1 Januari tahun berikutnya.


KAEDAH PELAKSANAAN PERGERAKAN GAJI TAHUN 2001

Pergerakan Gaji Lama Sama Dengan Tarikh Kuatkuasa

17.    Anggota terlibat yang TPG asalnya sama dengan tarikh kuatkuasa urusan ini hendaklah diselaraskan gajinya ke matagaji tertinggi berhampiran mengikut Peringkat (P) gaji masing-masing dalam tanggagaji skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) terlebih dahulu. Apabila keputusan Panel Penyelarasan Penilaian Prestasi dan Pergerakan Gaji (PPG) tahun 2001 diumumkan anggota berkenaan diberi pergerakan gaji tahunan dan diselaraskan gaji mengikut keputusan PPG pada 1 Januari 2001. Contoh pelarasan gaji adalah seperti di Lampiran F dan F1.


Pergerakan Gaji Lama Tidak Sama Dengan Tarikh Kuatkuasa

18.    Anggota yang TPG asalnya ialah pada 1 April, 1 Julai dan 1 Oktober hendaklah juga diselaraskan gajinya ke matagaji tertinggi berhampiran mengikut Peringkat (P) gaji masing-masing dalam tanggagaji skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) terlebih dahulu. Apabila keputusan PPG tahun 2001 diumumkan anggota berkenaan diberi pergerakan gaji tahunan dan diselaraskan gaji mengikut keputusan PPG pada 1 Januari 2001. Contoh pelarasan gaji adalah seperti di Lampiran G, G1 dan G2.


KAEDAH PELAKSANAAN OPSYEN

19.    Bagi melaksanakan skim perkhidmatan baru ini Ketua Jabatan dan anggota yang terlibat hendaklah mematuhi kaedah yang ditetapkan seperti berikut:-

Ketua Jabatan

(a) Ketua Jabatan hendaklah mengenalpasti jawatan-jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang menjalankan tugas-tugas kewangan sepenuh masa dan anggota yang mengisi jawatan tersebut hendaklah diberikan opsyen. Penjelasan yang terperinci mengenai opsyen ini kepada anggota yang terlibat dan implikasi keputusan yang dibuat hendaklah dimaklumkan;
     
(b) bagi perkhidmatan Gunasama Am Persekutuan, Ketua Jabatan hendaklah memaklumkan kepada Bahagian Perkhidmatan, JPA nama-nama anggota yang tidak memilih opsyen. Tindakan ini perlu bagi anggota berkenaan ditukarkan ke jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang tidak menjalankan tugas-tugas kewangan di agensi yang sama atau agensi lain mengikut mana berkenaan;
     
(c) bagi perkhidmatan Bukan Gunasama Am Persekutuan pula Ketua Perkhidmatan/Ketua Jabatan boleh terus menukarkan anggota yang tidak memilih opsyen mengisi kekosongan jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang tidak menjalankan tugas-tugas kewangan di agensi yang sama atau agensi lain mengikut mana berkenaan;
   
(d) Ketua Jabatan diminta menghubungi Bahagian Pembangunan Organisasi JPA untuk urusan pindaan jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) ke jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan) sewajarnya selepas urusan opsyen tukar lantik selesai;
     
(e) Ketua Jabatan juga boleh memohon untuk meminda jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang menjalankan tugas-tugas kewangan sepenuh masa yang kosong kepada jawatan Pembantu Tadbir (Kewangan). Walau bagaimanapun pindaan jawatan ini tidak akan melibatkan sebarang tambahan jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi); dan
     
(f) Ketua Jabatan hendaklah mengemaskini Buku Kenyataan Perkhidmatan anggota yang terlibat selaras dengan perubahan-perubahan yang berkaitan.
     
Anggota
   
(a) membaca dengan teliti dan faham mengenai opsyen sebelum membuat keputusan. Jika terdapat sebarang keraguan, anggota hendaklah merujuk kepada Ketua Jabatan untuk mendapat penjelasan selanjutnya. Sebarang opsyen yang dibuat adalah muktamad;
     
(b) membuat pilihan dalam tempoh 30 hari mulai dari tarikh surat tawaran; dan
     
(c) anggota yang tidak memilih opsyen untuk memasuki perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) akan ditukarkan ke jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) yang kosong yang tidak menjalankan tugas-tugas kewangan di agensi yang sama atau agensi lain mengikut mana berkenaan.
     

BAYARAN INSENTIF TUGAS KEWANGAN

20. Anggota dalam perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) akan menerima Bayaran Insentif Tugas Kewangan (BITK) yang berkuatkuasa melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1999 sewajarnya.


PINDAAN SKIM PERKHIDMATAN BERKAITAN

21. Skim perkhidmatan Pembantu Tadbir (Kewangan) diberi perbekalan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) ke perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir dan perkhidmatan Penolong Akauntan untuk tujuan kemajuan kerjaya. Selaras dengan itu maka perbekalan KPSL bagi skim-skim perkhidmatan berkenaan adalah dipinda sewajarnya.

22. Skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir dan Skim perkhidmatan Penolong Akauntan yang telah dipinda perbekalan KPSLnya adalah seperti di Lampiran H dan Lampiran I.

23. Dengan berkuatkuasanya pindaan ini maka skim perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir yang berkuatkuasa melalui surat jabatan ini JPA.SULIT 324 / 14 / 31 Klt. 6 / (43) bertarikh 14 Julai 1994 dan skim perkhidmatan Penolong Akauntan yang berkuatkuasa melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1991 adalah dibatalkan.


TARIKH KUATKUASA

24. Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2001.


PEMAKAIAN

25. Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

( TAN SRI DATO’ SAMSUDIN BIN OSMAN )

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

17 Januari 2001


Semua Ketua Setiausaha Kementerian

Semua Ketua Jabatan Persekutuan

Semua Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri

Semua Pihak Berkuasa Berkanun

Semua Pihak Berkuasa Tempatan

PP2001 Bil. 1     Lampiran  [A]  [A1]   [B]  [C]  [D]  [D1]  [E]  [E1]  [E2]  [F]  [F1]  [G]  [G1]  [G2]  [H]  [I] Kembali