PEKELILING PEMBAHARUAN SEKTOR AWAM BIL.1 TAHUN 2026

Pembaharuan tadbiran sektor awam merupakan keperluan strategik yang perlu dilaksanakan secara terancang, menyeluruh dan bersepadu serta tidak boleh dijalankan secara terpisah, ad hoc atau hanya bergantung pada strategi dan inisiatif jangka pendek. Dalam landskap pentadbiran moden yang semakin kompleks, sektor awam berhadapan dengan pelbagai cabaran serta tuntutan rakyat yang semakin meningkat terhadap penyampaian perkhidmatan yang cekap, berkualiti dan berintegriti, di samping memperkukuh kesejahteraan rakyat dan keyakinan terhadap institusi kerajaan. Melihat kepada perkembangan ini, Pekeliling Pembaharuan Sektor Awam diperkenalkan sebagai dokumen rujukan induk yang berfungsi sebagai panduan strategik dan komprehensif dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan pembaharuan sektor awam yang berimpak tinggi. Tunjang utama kepada agenda besar pembaharuan tadbiran sektor awam yang dimuatkan dalam pekeliling ini ialah Ekosistem Pembaharuan Tadbiran Sektor Awam (EPTSA). EPTSA dirumuskan sebagai satu seni bina holistik yang bertujuan memacu pembaharuan berterusan di seluruh jentera kerajaan. Sebagai sistem navigasi utama, EPTSA menetapkan hala tuju agensi sektor awam secara sistematik, menjajarkan setiap keringat pembaharuan dengan aspirasi pembangunan negara, keutamaan semasa kerajaan dan penanda aras amalan terbaik antarabangsa. Dengan berlandaskan pekeliling ini, agenda pembaharuan perkhidmatan awam dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berdaya tahan dan berterusan, seterusnya memperkukuh keupayaan sektor awam untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih responsif, efektif dan berimpak kepada rakyat dan negara. 1 PENGENALAN 1

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy