Tatakelakuan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam

 16 CERAIAN UP.7.2.4 LARANGAN PENGLIBATAN PEGAWAI AWAM DALAM PENYALAHGUNAAN DAN PENAGIHAN DADAH TUJUAN 1. Ceraian ini bertujuan untuk menjelaskan mengenai larangan penglibatan pegawai awam dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 7, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, [P.U.(A) 395/1993]. LATAR BELAKANG 2. Subperaturan 7(1) P.U.(A) 395/1993 menyatakan bahawa pegawai awam adalah dilarang menggunakan atau mengambil apa-apa dadah berbahaya, kecuali dipreskripsikan untuk kegunaannya bagi maksud perubatan oleh pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971. Pegawai awam juga adalah dilarang menyalahgunakan atau menagih apa-apa jenis dadah berbahaya. 3. Jika seseorang pegawai awam diperakui oleh Pegawai Perubatan Kerajaan menggunakan atau mengambil (selain bagi maksud perubatan) atau menyalahgunakan atau menagih suatu dadah berbahaya, pegawai itu boleh dikenakan tindakan tatatertib dengan tujuan buang kerja seperti dinyatakan dalam subperaturan 7(2) P.U.(A) 395/1993. Selain itu, pegawai juga boleh ditamatkan demi kepentingan awam di bawah peraturan 49 P.U.(A) 395/1993 dengan syarat pegawai itu telah mencapai umur persaraan pilihan yang ditentukan oleh Kerajaan pada masa itu. 4. Bagi maksud Ceraian ini, “dadah berbahaya” bermaksud apa-apa dadah atau bahan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama kepada Akta Dadah Berbahaya 1952. 5. Kerajaan memandang serius isu penyalahgunaan dan penagihan dadah dalam kalangan pegawai awam serta sentiasa mengambil langkah tegas bagi membendung masalah tersebut. Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan negara dan masyarakat Malaysia yang bebas daripada ancaman dadah bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat, mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy