Tatakelakuan Pengurusan Tatatertib Pegawai Awam

 80 UP.7.4.2 10. Bagi prosiding tatatertib dengan tujuan buang kerja atau turun pangkat, perintah tahan kerja boleh berkuat kuasa mulai tarikh yang ditetapkan oleh PBTT manakala bagi prosiding jenayah, perintah tahan kerja boleh berkuat kuasa mulai dari tarikh pegawai ditangkap atau tarikh saman telah disampaikan kepadanya. Dalam tempoh penahanan kerja tersebut, pegawai berhak menerima tidak kurang daripada setengah emolumennya sebagaimana yang diputuskan oleh PBTT. 11. PBTT boleh memanggil balik pegawai untuk bertugas walaupun prosiding jenayah atau prosiding tatatertib yang berkenaan belum selesai dan pegawai hendaklah dibayar emolumen penuh mulai tarikh pegawai menjalankan tugasnya semula. Walau bagaimanapun, apa-apa bahagian emolumen yang tidak dibayar semasa penahanan kerja tersebut tidak boleh dibayar sehingga prosiding tersebut selesai dengan keputusan. Berdasarkan subperaturan 44(7), P.U.(A) 395/1993, jika prosiding jenayah atau tindakan tatatertib itu berkeputusan dengan pegawai dibebaskan, apa-apa bahagian emolumen yang tidak dibayar semasa tahan kerja itu hendaklah dibayar kepadanya. C. Tatacara Penggantungan Kerja (Peraturan 45, P.U.(A) 395/1993) 12. Peraturan 45, P.U.(A) 395/1993, PBTT yang mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat boleh menggantung seseorang pegawai daripada menjalankan tugas jika: (a) pegawai telah disabitkan oleh mana-mana mahkamah jenayah; atau (b) suatu perintah yang dinyatakan dalam Peraturan 32, P.U.(A) 395/1993 dibuat terhadap pegawai itu. 13. Penggantungan kerja ini hendaklah berkuat kuasa mulai tarikh sabitan atau tarikh kuat kuasa perintah itu. Seseorang pegawai yang digantung kerja tidak boleh dibenarkan menerima apa-apa emolumen sepanjang tempoh gantung kerja tersebut. Pegawai juga tidak dibenarkan menerima apa-apa bahagian emolumen yang telah tidak dibayar semasa tempoh tahan kerja.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy