Pelantikan
551 35. Bagi maksud perenggan 34(ii), ahli keluarga meliputi keluarga pegawai sendiri (isteri/suami dan anak-anak), ibu kandung, ibu angkat, ibu mentua, ibu tiri, bapa kandung, bapa angkat, bapa mentua, bapa tiri, adik-beradik, nenek dan datuk kepada pegawai. Istilah anak termasuk anak kandung, anak angkat yang sah di sisi undang- undang, anak angkat de facto , anak pelihara dan anak tiri tanggungan. 36. Sekiranya pegawai telah hadir PTM dengan kehadiran melebihi 85% jam kredit keseluruhan modul atas sebab yang dibenarkan, pegawai perlu dinilai dari segi elemen Disiplin dan Personaliti serta elemen Komitmen dan layak menduduki ujian kefahaman pada sesi tersebut. Sekiranya pegawai telah dinilai untuk ketiga-tiga elemen pada sesi tersebut, transkrip keputusan PTM masih tidak boleh dimuktamadkan tetapi perlu diserahkan kepada Ketua Jabatan. Pegawai kemudiannya hendaklah melengkapkan baki modul yang tidak dapat dipenuhi tersebut secara fizikal atau dalam talian. Bukti kehadiran tersebut hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan supaya transkrip keputusan PTM dapat dimuktamad dan direkodkan, serta diserahkan kepada pegawai. 37. Namun, sekiranya pegawai telah hadir PTM tetapi kehadiran adalah kurang daripada 85% jam kredit keseluruhan modul, urus setia hendaklah mencatatkan prestasi/ pemarkahan pegawai setakat mana kehadirannya semasa sesi berkenaan. Walau bagaimanapun, pegawai tidak layak dimuktamadkan penilaiannya untuk elemen Disiplin dan Personaliti serta elemen Komitmen, dan pegawai tidak layak menduduki ujian kefahaman pada sesi tersebut. Pelaporan mengenai prestasi/ pemarkahan pegawai hendaklah diserahkan kepada Ketua Jabatan. Pegawai kemudiannya perlu mengulang modul yang tertinggal secara fizikal atau dalam talian, serta melalui penilaian bagi semua elemen dan menduduki ujian kefahaman di sesi yang baharu. 38. Bagi maksud perenggan 36 dan 37, pegawai hendaklah mengemukakan permohonan secara bertulis kepada penganjur PTM yang ingin disertai. Contoh permohonan secara bertulis adalah seperti di Lampiran UP.1.3.9(H). Bagi maksud perenggan 37, pelaporan mengenai prestasi/ pemarkahan pegawai pada sesi terdahulu hendaklah dilampirkan bersekali dengan permohonan tersebut kepada penganjur baharu. 39. Ringkasan carta alir bagi pegawai yang tidak dapat melengkapkan PTM adalah seperti di Lampiran UP.1.3.9(I). Pengurusan Terhadap Pegawai (Peserta) Di Kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) 40. PPPTM boleh menetapkan kaedah pembelajaran, pelaksanaan PTM dan penilaian yang bersesuaian terhadap pegawai OKU dengan mengambil kira persekitaran mesra OKU dari segi kebolehaksesan dan penyesuaian munasabah seperti yang diperuntukkan di dalam Akta 685 Akta Orang Kurang Upaya 2008.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy