JPA Daily Buzz - Edisi 52 2026
m/s 2 Setibanya di sana, saya pastikan semuanya teratur. Saya mengisi NZETA dengan jujur. Malah, kasut pun saya bersihkan sehingga berkilat. Alhamdulillah, saya diberikan laluan pantas. Hanya kerana satu perkara iaitu kejujuran. Perkara kecil tetapi memberi kesan yang besar. Perkara pertama yang saya perasan bukan bangunan tetapi udara. Cara kita bernafas di sana terasa berbeza. Bersih. Ringan. Seolah-olah setiap hela nafas benar-benar sampai ke dalam paru-paru. Saya juga ada cara tersendiri untuk “merasai” kualiti udara. Bunyi mungkin sedikit pelik iaitu warna “tahi hidung”. Di tempat yang lebih tercemar, warnanya cenderung lebih gelap, satu peringatan kecil tentang apa yang tubuh kita tapis setiap hari tanpa kita sedari. Satu pengalaman yang tidak dijangka tetapi memberi kesan besar ialah perjalanan secara berkumpulan. Saya tidak pernah bersekolah asrama. Jadi melakukan segala perkara bersama adalah sesuatu yang baharu bagi saya. Bangun mengikut jadual. Makan bersama. Bergerak bersama. Pada awalnya terasa sedikit kekok. Tetapi lama-kelamaan, saya mula menghargainya. Gelak tawa kecil. Bantuan spontan. Hubungan yang terjalin tanpa dirancang dan saya sedar kadangkala, bukan aktiviti itu yang paling penting tetapi siapa yang kita lalui bersama. Sepanjang perjalanan ini, saya bersama Puan Nur Sara Que Zana binti Abdullah dari Bahagian Perkhidmatan, JPA dan Puan Afidah binti Arshad dari Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN). Pada awalnya, saya sangka mereka serius tetapi apabila mengenali mereka, mereka sebenarnya sangat baik dan mesra. Lebih mengejutkan, mereka lebih tua daripada saya lebih 10 tahun. Di situlah pembelajaran berlaku. Pengalaman membawa ketenangan. Memberi perspektif yang lebih luas dan cara melihat sesuatu dengan lebih mendalam. Antara pengalaman paling bermakna ialah lawatan ke komuniti Māori di Rotorua. Kami disambut dengan nyanyian dan apabila kami beredar, kami juga dihantar dengan nyanyian. Seolah-olah satu doa, lembut, tetapi penuh makna. Apa yang paling menyentuh hati saya ialah bagaimana mereka menghidupkan budaya mereka. Bagi mereka, budaya bukan sesuatu yang disimpan di muzium tetapi ia hidup dalam kehidupan seharian. Bahasa Māori digunakan di mana-mana. Pada papan tanda. Dalam institusi. Dalam perbualan harian. Mereka bukan sekadar memelihara tradisi tetapi mereka memastikan generasi seterusnya merasainya. Satu lagi pengalaman yang memberi kesan ialah sapaan tradisional mereka dikenali sebagai hongi. Bukan sekadar berjabat tangan, tetapi sentuhan hidung ke hidung. Ringkas tetapi penuh simbolik. Ia melambangkan perkongsian “nafas kehidupan”. Satu peringatan bahawa kita bukan sekadar bertemu tetapi berhubung sebagai manusia. Saya juga tertarik dengan bagaimana mereka menghormati dan melindungi wanita dalam budaya mereka. Sejak awal, wanita didahulukan untuk masuk. Dalam susunan tempat duduk, ada tertibnya dan ketika makan, wanita diberi keutamaan untuk duduk dan memulakan dahulu. Tidak dilaungkan. Tidak ditonjolkan. Tetapi diamalkan secara konsisten seperti satu bentuk penghormatan yang disanjungi.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy