JPA Daily Buzz - Edisi 52 2026
m/s 2 Dalam dunia yang semakin moden, mereka tidak kehilangan identiti. Sebaliknya, mereka menguatkannya dan mungkin di situlah kekuatan sebenar mereka iaitu mengetahui siapa diri mereka, dan menghayatinya. Kami juga melihat sistem TVET mereka. Di New Zealand, pendidikan bukan sekadar untuk lulus. Tetapi untuk memastikan pekerjaan. Selagi pelajar belum mendapat pekerjaan, mereka akan terus dibimbing. Lebih mengagumkan, mereka menerima pelajar berumur antara 40 hingga 60 tahun. Memberi peluang kedua. Memberi harapan baharu. Lawatan ke National Emergency Management Agency (NEMA) di Wellington membuka perspektif saya tentang tadbir urus krisis. Pendekatan mereka jelas: Tenang; Tersusun; dan Bersedia Satu perkara yang kekal dengan saya, “kami bekerja 8 jam, selebihnya boleh disambung esok kecuali jika berlaku bencana.” Apa yang menjadikan pengalaman ini lebih bermakna ialah apa yang berlaku selepas itu. Sehari selepas kami meninggalkan New Zealand, Wellington diisytiharkan dalam keadaan kecemasan oleh Group Controller, Carrie McKenzie. Saya terdiam seketika kerana beliau adalah individu yang kami temui sendiri. Apa yang kami lihat bukan sekadar teori tetapi sistem sebenar yang berfungsi apabila diperlukan. Kami juga berpeluang bertemu Dr Fahimi Ali, seorang rakyat Malaysia yang berkhidmat sebagai Disaster Strategic Planner di NEMA. Beliau juga aktif dalam komuniti Melayu di Wellington. Saya cukup berbangga melihat bangsa Melayu, walau di mana kita berada kita tetap membawa siapa diri kita. Satu lagi perkara yang memberi kesan ialah bagaimana mereka melihat aspek kemanusiaan dalam pengurusan bencana. Mangsa tidak dibiarkan terlalu lama dalam keadaan sementara. Mereka dipindahkan ke tempat yang lebih selesa untuk pulih. Bukan sekadar fizikal. Tetapi emosi. Di situlah saya sedar dalam pengurusan krisis, kecekapan sahaja tidak mencukupi, sistem perlu memahami manusia, bukan sekadar mengurus mereka. Sebuah negara maju bukan dibina oleh sistem semata-mata. Tetapi oleh manusia di dalamnya. Nilai mereka. Disiplin mereka. Rasa tanggungjawab mereka. Kita perlu ingat bahawa setiap sistem mencerminkan manusia di sebaliknya termasuk kita. Perjalanan ini bukan sekadar tentang New Zealand. Ia tentang manusia dan yang paling penting bukan apa yang kita lihat di sana tetapi apa yang kita sanggup ubah apabila kita kembali. Dr. Diyana Hassim Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy