Laporan Tahunan AKRAB 2021

3 AKRAB SELAYANG PANDANG Pendekatan Pengurusan Sumber Manusia hendaklah seiring dengan dasar-dasar kerajaan yang sentiasa mendahulukan rakyat dan melahirkan warga kerja sektor awam yang berprestasi tinggi. Pengurusan Sumber Manusia yang kompeten merupakan salah satu teras dalam Misi Nasional. Penekanan kepada agenda perubahan untuk meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi warga kerja dan negara turut menjadi pemangkin kepada budaya kerja berprestasi tinggi. Untuk mencapai hasrat tersebut, pendekatan berterusan melalui penerapan aplikasi psikologi dalam Pengurusan Sumber Manusia merupakan satu langkah tepat dalam menjana modal insan yang lebih menyeluruh berpandukan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2005: Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam. Pelaksanaan AKRAB di semua peringkat agensi kerajaan juga merupakan sokongan kepada pelaksanaan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1999: Panduan Mewujudkan Perkhidmatan Kaunseling di Agensi Awam dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2010: Panduan Pementoran Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam. Melalui pekeliling dan surat pekeliling ini setiap kementerian dan jabatan telah menubuhkan Unit Perkhidmatan Kaunseling dan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan secara formal dan lebih terancang. Bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan Pengurusan Sumber Manusia, empat program utama telah digabungkan menjadi Program Pengupayaan Kendiri iaitu Program Penilaian Pekerja, Program Pementoran, Program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dan Program Kaunseling. Keempat-empat program ini berfungsi secara matriks dalam menyelaras dan membantu pegawai untuk melonjakkan perkembangan dan pemantapan diri serta menyemai budaya kerja berprestasi tinggi. Bagi memenuhi keperluan tersebut, Bahagian Pengurusan Psikologi melalui Panduan Pelaksanaan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam dalam surat edaran pada April 2014 telah memperkenalkan modul dan sistem penilaian baru Program Pra AKRAB untuk dilaksanakan di semua peringkat organisasi. Program ini bertujuan memberi pendedahan dan pemahaman berhubung fungsi dan peranan kaunseling kepada penjawat awam. Pegawai yang berjaya menamatkan kedua-dua modul dan lulus penilaian akhir layak dilantik sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) yang berfungsi sebagai rakan pembimbing dan mentor di kementerian, jabatan, SUK dan agensi masing-masing. Sebagai nilai tambah kepada program tersebut, satu keperluan tambahan telah diperkenalkan berkaitan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ia bertujuan memberi pendedahan sebenar bimbingan secara berkelompok dan membolehkan Rakan Pembimbing peka dengan isu semasa, persekitaran dan mendekati masyarakat sekeliling.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy