Sejahtera Milik Kita

54 Trend jenayah seksual ke atas kanak-kanak juga amat membimbangkan. Jumlah kes yang direkodkan antara 2017 hingga 2023 adalah sebanyak 6,990. Dalam tahun 2023 sahaja, sebanyak 1570 kes direkodkan (Sumber: Malaysia Gazette, Februari 29, 2024). Angka-angka spesifik bagi pelbagai jenis jenayah seperti jenayah keganasan dan seksual, dadah, rasuah, merosakkan alam sekitar, maritim, dan siber bagi tempoh antara tahun 2020 hingga 2022 boleh dilihat dalam Laporan Statistik Jenayah Malaysia 2023 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (2023). Secara ringkas, jumlah kes yang dicatatkan memberi indikator tindakan pencegahan perlu diberi perhatian serius. Walaupun pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengekalkan keadaan keselamatan negara pada tahap yang baik, namun keadaan ini masih boleh dipertingkatkan lagi dengan pengenalan pelbagai program dan aktiviti psikologi. Pendekatan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan tidak menjamin kejayaan menangani jenayah secara tuntas. Teori perlakuan jenayah mengkelaskan punca penglibatan dalam jenayah dipengaruhi oleh gabungan kompleks faktor persekitaran, biologi dan psikologi. Maka, faktor psikologi seperti kebolehan kognitif, personaliti, sikap, dan nilai perlu diambil kira kerana ia turut mempengaruhi kecenderungan tingkah laku seseorang (Moore, 2011). Bacaan lanjut berkaitan pendekatan psikologi dalam memahami perlakuan jenayah boleh dirujuk dalam penulisan oleh Webber (2020) dan McGuire (2004). Berdasarkan perspektif psikologi perkembangan ( developmental psychology ), program intervensi awal dalam aspek pendidikan amat membantu dalam menyokong pertumbuhan yang sihat dalam kalangan anak-anak. Mengajar kemahiran dan praktis keibubapaan ( parenting skills best practices ) yang positif dan sihat perlu pergiatkan, kerana kajian lepas menunjukkan ia membantu mengurangkan masalah tingkah laku delikuen dalam kalangan anak-anak. Keberkesanan latihan berkaitan praktis dan kemahiran keibubapaan ke atas tingkah laku kanak-kanak ditunjukkan dalam beberapa kajian meta-analysis misalnya oleh Gubbels, van der Put & Assink (2019) dan juga Mingebach, Kamp-Becker, Christiansen & Weber (2018).

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy