Sejahtera Milik Kita

PENDEKATAN PSIKOLOGI DALAM MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN Christopher Anak Abas, Phd PENGENALAN Salah satu daripada tema utama dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) ialah memperkukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti rakyat. Berkait dengan konstruk kesejahteraan, pelbagai definisi boleh diberikan. Secara umumnya, kesejahteraan merujuk kepada taraf dan kualiti hidup yang memenuhi keperluan sosio- ekonomi, fizikal dan psikologi individu. Dalam usaha mempertingkatkan kesejahteraan rakyat, pelbagai pendekatan dan strategi boleh dilaksanakan. Secara ringkas, pendekatan dan strategi ini selalunya memberi tumpuan kepada usaha mempertingkatkan status sosio-ekonomi rakyat; menambahbaik kemudahan insfranstruktur; menyediakan kemudahan pendidikan serta kesihatan yang berkualiti. Selain daripada strategi tersebut, terdapat keperluan untuk mengetengahkan pendekatan psikologi dalam membantu mempertingkatkan kesejahteraan rakyat. Pendekatan psikologi bermaksud menggunakan perspektif atau kaedah yang berasaskan ilmu psikologi untuk memahami, menganalisis dan menerangkan pemikiran, emosi dan tingkah laku seseorang. Ia turut melibatkan pengaplikasian teori, prinsip dan kajian psikologi bagi memahami bagaimana seseorang membentuk persepsi, memproses maklumat dan berinteraksi dengan persekitaran mereka (Glassman & Hadad, 2009).

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy