JPA Daily Buzz - Edisi 16 2025

Kemudian saya terfikir tentang rumah iaitu bilik darjah pertama yang membentuk segalanya. Berapa ramai ibu bapa, selepas seharian bekerja, duduk di ruang tamu sambil melayari internet dengan telefon bimbit dari jam 8 malam hingga tengah malam? Sambil bertanya sepatah dua, “Dah makan? Macam mana sekolah?” Adakah itu perbualan sebenar, atau hanya bunyi latar di antara notifikasi? Anak-anak memerhati dan meniru. Mereka juga beralih kepada skrin mencari perhatian dan pengisian yang tiada di dunia nyata. Kadang-kadang, begitulah gangguan kecil akhirnya menjadi ketagihan. Kenapa? Kerana skrin mendengar, bila manusia tidak. Corak yang sama berlaku apabila kita mengelak perbualan yang sukar. Remaja yang mula mencari identiti dan memahami tubuh sering dibiarkan belajar sendiri daripada internet, kerana tiada siapa berani berbicara. Apabila hal hubungan dan seksualiti dianggap tabu, rasa ingin tahu tidak hilang tetapi ia hanya berpindah ke ruang maya yang dipenuhi algoritma dan video yang dicipta untuk untung, bukan untuk membimbing. Adakah kita bersedia memberitahu anak- anak, apabila mereka mencapai usia akil baligh, bahawa rasa ingin tahu itu normal tetapi ia perlu diiringi hikmah, batas, dan nilai? Jika tidak, orang lain atau sesuatu yang lain akan melakukannya bagi pihak kita. Kita tidak perlukan dasar baharu atau pekeliling baharu untuk memberitahu kita tujuan hidup ini atau menjadi manusia . Mungkin kita hanya perlukan keberanian untuk mengingat semula apa yang menjadikan kita manusia iaitu empati, perbualan, dan keinginan untuk peduli walaupun lebih mudah untuk melayari telefon bimbit. Kajian juga menunjukkan betapa pentingnya perkara ini. Kajian oleh Universiti Illinois mendapati remaja yang mempunyai rasa tujuan hidup yang jelas melaporkan tahap kesejahteraan dan kepuasan hidup yang lebih tinggi. Sementara kajian susulan yang diterbitkan dalam Frontiers in Psychology mendapati bahawa apabila remaja kekurangan sokongan sosial, masa bermain permainan dalam talian yang berlebihan dikaitkan dengan tahap kemurungan lebih tinggi dan harga diri lebih rendah. Namun apabila mereka mempunyai hubungan yang positif dan sokongan emosi, permainan menjadi sumber kegembiraan dan bukan pelarian. Selepas berjam-jam di dunia maya itu, saya bukan sahaja berasa letih tetapi saya berasa kosong. Ini kerana masalah sebenar bukan Roblox. Ia adalah kesunyian yang tumbuh apabila makna dan perbualan hilang, apabila kita berhenti memberitahu anak-anak, dan diri sendiri, bahawa kewujudan kita penting. Akhirnya, kita semua mendambakan perkara yang sama iaitu untuk rasa diterima, dihargai, dan bermakna. Bila kita memupuk tujuan, kita membina empati. Bila kita melupakannya, bahkan permainan boleh menjadi medan pertempuran. Dr. Diyana binti Hassim JPA Daily Buzz Unit Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy