JPA Daily Buzz - Edisi 53 2026

Bagi kebanyakan orang, persaraan menandakan penamat sebuah kerjaya. Namun bagi Dr. Yap, detik ini membawa makna yang lebih besar. Ia bukan sekadar meninggalkan pekerjaan tetapi melangkah ke arah sesuatu yang lebih utama iaitu anak beliau. Anak beliau baru sahaja didiagnosis dengan ADHD dan Asperger dan pada ketika itu, jelas ini bukan sekadar peralihan. Tetapi satu pilihan. Kita sering bercakap tentang pengorbanan. Namun hakikatnya, pengorbanan yang paling besar jarang diumumkan terutamanya oleh seorang ayah. Mereka melakukan apa yang perlu dalam diam tanpa mengharapkan pengiktirafan dan hari ini, kita menyaksikan salah satu daripadanya. Saya sendiri masih jauh daripada persaraan. Namun dari sudut ini, saya mula memahami sedikit tentang perasaan itu. Bertahun-tahun membina rutin, bangun dengan tujuan, pergi bekerja, menyumbang dan menjadi sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar. Suatu hari nanti rentak itu akan berubah. Dari sudut psikologi, ini bukan sekadar perubahan rutin. Ia adalah perubahan identiti. Rasa kehilangan. Namun dalam masa yang sama satu penyesuaian semula. Makna baharu dengan tujuan yang berbeza. Bagi mereka yang menghampiri persaraan, mungkin persediaan bukan sekadar kewangan tetapi juga mental dan emosi untuk perlahan- lahan melihatnya dari sudut berbeza: Daripada “apa yang ditinggalkan” kepada “apa yang sedang dituju”. Untuk melabur dalam hubungan. Untuk mengenali semula diri di luar kerjaya. Untuk membina kehidupan yang maknanya bukan hanya pada kerja, tetapi terhadap diri sendiri. Dalam situasi Dr. Yap, keberadaan itu amat penting kerana anak-anak dengan ADHD dan Asperger iaitu sebahagian daripada spektrum autisme melihat dunia dengan cara yang berbeza. Mereka bukan kurang. Mereka hanya berbeza. Mereka memerlukan lebih struktur, lebih kesabaran, lebih kefahaman, dan paling penting keberadaan yang konsisten. Ini adalah keadaan perkembangan neurologi dan sokongan keluarga memainkan peranan yang sangat besar dalam membantu mereka berkembang. Apa yang kita saksikan hari ini bukan sekadar perpisahan tetapi seorang ayah yang memilih untuk berada di samping anak. Sepenuhnya. Dengan sedar. Tanpa ragu. m/s 2 Ada sesuatu yang sangat kuat dalam keputusan itu kerana kerjaya boleh dibina semula. Jawatan boleh diganti tetapi masa bersama keluarga terutamanya ketika mereka paling memerlukan tidak boleh diganti. Dr. Yap, Segala jasa dan sumbangan Dr. dalam perkhidmatan tidak ternilai. Namun hari ini, yang lebih menonjol adalah nilai kemanusiaan itu sendiri. Kekuatan. Keikhlasan dan keberanian untuk memilih apa yang benar-benar penting. Mungkin itulah legasi yang paling bermakna bukan sekadar apa yang kita capai dalam kerjaya, tetapi apa yang kita pilih pada saat ia paling bermakna. Dr. Diyana Hassim Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy