JPA Daily Buzz - Edisi 42 2026
m/s 2 Arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dilaksanakan bukanlah satu bentuk sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pernah kita lalui sebelum ini. Ia merupakan satu pendekatan pengurusan kerja yang bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan awam berjalan dengan teratur, sambil mengambil kira keperluan semasa. Dalam pelaksanaannya juga, terdapat sektor-sektor tertentu yang tidak dapat melaksanakan BDR sepenuhnya kerana sifat tugas yang dikategorikan sebagai perkhidmatan penting (essential services) . Peranan ini memerlukan kehadiran fizikal demi memastikan rakyat terus menerima perkhidmatan yang diperlukan tanpa gangguan. Perbezaan situasi ini menunjukkan bahawa pelaksanaan sesuatu dasar memerlukan kefahaman yang menyeluruh serta pertimbangan yang sewajarnya. Dalam era digital hari ini, ruang untuk bersuara terbuka luas. Pandangan boleh disampaikan dengan pantas, tanpa sempadan. Namun dalam keterbukaan ini, kita juga memikul tanggungjawab yang lebih besar terutamanya sebagai pegawai awam. Setiap kata yang ditulis, setiap komen yang ditinggalkan, dan setiap reaksi yang dipaparkan bukan lagi sekadar mewakili individu, tetapi boleh mencerminkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhan. Di sinilah pentingnya adab dan profesionalisme . Berbeza pandangan itu tidak salah. Mengemukakan cadangan juga tidak salah. Namun cara kita menyampaikannya perlu selari dengan nilai yang kita pegang. Bahasa yang kasar, penghinaan, atau reaksi beremosi mungkin memberi kelegaan sementara, tetapi tidak membawa kepada penyelesaian. Malah, ia boleh menjejaskan kredibiliti diri sendiri serta persepsi terhadap institusi yang kita wakili. Sebaliknya, pandangan yang disampaikan secara berhemah membuka ruang untuk didengar, difahami, dan dipertimbangkan. Sebagai pegawai awam, kita bukan sahaja melaksanakan dasar, kita juga adalah wajah kepada perkhidmatan itu sendiri . Kepercayaan masyarakat terhadap institusi awam dibina bukan sahaja melalui dasar yang dilaksanakan, tetapi juga melalui tingkah laku dan komunikasi setiap individu di dalamnya termasuk dalam ruang digital. Sebagai pegawai awam juga, kita terikat dengan nilai dan prinsip yang telah dipersetujui bersama, termasuk komitmen di bawah Aku Janji Perkhidmatan Awam . Ia bukan sekadar satu dokumen, tetapi satu refleksi kepada integriti, profesionalisme dan tanggungjawab kita dalam menjalankan amanah. Ini termasuk bagaimana kita membawa diri bukan sahaja dalam pelaksanaan tugas, tetapi juga dalam cara kita berkomunikasi di ruang awam. Dalam masa yang sama, perkhidmatan awam sentiasa berkembang. Maklum balas yang konstruktif memainkan peranan penting dalam penambahbaikan dasar dari semasa ke semasa, dan perlu disalurkan melalui pendekatan yang membina. Kita semua mahukan perkara yang sama iaitu urusan yang lancar, keseimbangan kerja dan kehidupan, serta sistem yang adil. Untuk mencapai itu, ia memerlukan dua perkara berjalan seiring: Dasar yang jelas, dan warga yang berintegriti dalammenyuarakan pandangan . Mungkin tidak semua situasi dapat dilihat dari sudut yang sama. Namun dalam menghadapi perbezaan itu, kita masih mempunyai pilihan untuk bertindak dengan emosi, atau dengan kebijaksanaan. Sebagai pegawai awam, pilihan itu membawa makna yang lebih besar. Bersuara itu hak. Beradab itu tanggungjawab. Menjaga imej perkhidmatan awam, amanah kita bersama. Dr. Diyana Hassim Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy