Teras Strategik Perkhidmatan Awam dan Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam 2026-2030

PELAN STRATEGIK JABATAN PERKHIDMATAN AWAM 2026-2030 [ 2 ] Secara umumnya, perkhidmatan awam merupakan institusi teras bagi sesebuah negara berasaskan prinsip bahawa kerajaan hanya dapat berfungsi dengan cekap, berkesan dan berterusan melalui sebuah jentera pentadbiran yang neutral, berwibawa, berintegriti dan mampan. Dengan erti kata lain, perkhidmatan awam ditubuhkan untuk memastikan kesinambungan pemerintahan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menggerakkan pembangunan demi kestabilan negara. Perkhidmatan awam juga merupakan tulang belakang kerajaan yang melaksanakan fungsi seperti menjaga keselamatan negara, mengurus ekonomi, menguatkuasakan undang- undang, mewujudkan dasar sosial, dan memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang diperlukan tanpa mengira keadaan politik, ekonomi atau perubahan kerajaan. Fungsi- fungsi ini sebahagian besarnya tidak boleh digantikan oleh mana-mana entiti lain. Dalam konteks Malaysia, perkhidmatan awam wujud bukan sahaja sebagai perancang, penggubal dan pelaksana dasar, tetapi juga sebagai pemudah cara pembangunan nasional, pencipta nilai sosial, dan pengukuh institusi demokrasi. Ia menjadi jambatan keyakinan antara Kerajaan Malaysia dan rakyat, dengan memastikan amalan tatakelola yang baik, penyampaian perkhidmatan yang tangkas, adil dan saksama serta pengurusan sumber awam secara amanah dan optimum. Namun, peranan perkhidmatan awam semakin mencabar dan kompleks dalam mendepani perubahan politik, ekonomi, sosial dan teknologi serta ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi. Dalam persekitaran yang kian dinamik ini, perkhidmatan awam tidak lagi boleh beroperasi secara konvensional – sebaliknya perlu meningkatkan prestasi ke peringkat yang lebih tinggi, berdaya saing global dan sentiasa berfokus kepada rakyat dengan pegawai awam yang berani berfikir di luar kotak. Di sinilah peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai agensi pusat yang bukan sekadar pentadbir sumber manusia Kerajaan, tetapi merupakan arkitek yang mengemudi pembangunan bakat, struktur organisasi dan pengukuhan tadbir urus ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang. Pendahuluan

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy