Teras Strategik Perkhidmatan Awam dan Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam 2026-2030
PELAN STRATEGIK JABATAN PERKHIDMATAN AWAM 2026-2030 [ 10 ] Pembangunan PSJPA 2026–2030 Pembangunan PSJPA 2026–2030 telah melalui proses yang sistematik dan komprehensif sepanjang tahun 2025, bermula dengan penilaian terhadap pencapaian JPA dalam Pelan Strategik terdahulu di bawah Kajian Separuh Penggal (KSP) RMKe-12 dan penelitian terhadap isu-isu strategik serta cabaran baharu yang perlu ditangani. Proses ini bertujuan untuk mengenal pasti kejayaan yang telah dicapai, meneliti jurang yang wujud, dan menentukan tindakan-tindakan strategik yang perlu diteruskan bagi memastikan kesinambungan dan keberkesanan agenda reformasi perkhidmatan awam. Pendekatan atas ke bawah ( top- down ), bawah ke atas ( bottom- up ) dan perspektif dalaman luaran ( inward-outward perspective ) diterapkan sejak awal proses pembangunan pelan. Sesi libat urus dengan pihak luar JPA termasuklah wakil agensi pusat, ahli akademik dan pihak swasta diadakan bagi mengambil kira isu-isu strategik berkaitan perkhidmatan awam. Di samping itu, mesyuarat kerja hala tuju melibatkan ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (MPT), JPA dan siri-siri mesyuarat kerja bersama wakil Bahagian dan Unit di JPA diadakan untuk mendapatkan input berharga dalam menentukan visi dan misi JPA yang baharu bersandarkan kepada lima TSPA. Mesyuarat-mesyuarat kerja tersebut juga berjaya mengenal pasti strategi, program dan sub-program untuk mencapai objektif strategik di bawah setiap teras. Setiap strategi dan program pula disusun dan dibincangkan secara mendalam untuk melihat kebolehlaksanaannya sebelum dimuktamadkan dalam Pelan Tindakan JPA. Setiap program dan sub-program yang dikenal pasti, kemudiannya dijajarkan mengikut inisiatif yang diketengahkan dalam RMK-13. Seterusnya, penetapan sasaran dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) membabitkan setiap program dinyatakan dengan jelas agar kemajuan dan impak pelaksanaan dapat diukur sepanjang tempoh lima tahun PSJPA 2026–2030. Proses pembangunan yang holistik dan inklusif ini adalah komitmen JPA untuk menghasilkan sebuah dokumen pelan strategik yang berwawasan, praktikal dan boleh direalisasikan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy