Teras Strategik Perkhidmatan Awam dan Pelan Strategik Jabatan Perkhidmatan Awam 2026-2030
PELAN STRATEGIK JABATAN PERKHIDMATAN AWAM 2026-2030 [ 8 ] Kompetensi dan kemahiran baharu – tenaga kerja sedia masa hadapan ( future-ready workforce ) Perkembangan pesat teknologi membawa perubahan landskap pekerjaan. Pegawai awam perlu beradaptasi dan meningkatkan kompetensi serta menguasai kemahiran baharu. Kerangka pembangunan dan latihan yang komprehensif, khususnya dalam bidang digital dan teknologi memuncul seperti kecerdasan buatan ( artificial intelligence – AI) dan sebagainya, penting bagi meningkatkan keupayaan modal insan dan melahirkan tenaga kerja sedia masa hadapan ( future-ready workforce ). Kesejahteraan pegawai awam Kesejahteraan menyeluruh, termasuk kesihatan mental dan fizikal, adalah faktor penting dalam meningkatkan keinginan bekerja pegawai awam yang menyumbang kepada produktiviti. Terdapat keperluan untuk memperkukuh dasar dan melaksanakan program yang menyokong keseimbangan kerja- kehidupan ( work-life balance ), serta kesejahteraan psikologi bagi memastikan tenaga kerja yang sihat dan berprestasi tinggi. Inovasi, teknologi dan data analitik Era Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) menuntut perkhidmatan awam untuk menguasai teknologi dan data analitik. Pegawai awam perlu memiliki kompetensi digital bagi meningkatkan kemahiran penggunaan data secara strategik supaya pembuatan keputusan lebih pantas dan tepat serta berdasarkan pembuktian, sekali gus meningkatkan kecekapan organisasi dan menggalakkan inovasi ke arah penambahbaikan proses kerja dan penyampaian perkhidmatan. Kepimpinan dan tatakelola Kepimpinan berimpak dan tatakelola baik memerlukan kerangka pengurusan sistematik dan penilaian berasaskan prestasi. Ia penting untuk membangunkan bakat berpotensi ke arah kepimpinan sedia ada dan masa hadapan yang membawa perubahan menerusi pembudayaan nilai integriti. Budaya kerja bebas rasuah dan beretika tinggi dijadikan keutamaan supaya perkhidmatan awam diyakini dan dipercayai rakyat. Padanan perjawatan ( job-match ) dan bakat terbaik Penempatan yang menepati kompetensi dan kecenderungan pegawai adalah penting bagi mengoptimumkan sumber dan meningkatkan produktiviti serta potensi individu. Pengurusan, penempatan dan pembangunan bakat secara strategik dapat mengenal pasti dan menggilap potensi seseorang pegawai awam sama ada ke arah kepimpinan masa hadapan atau pakar bidang dalam mencapai matlamat organisasi. Persediaan menuju negara tua Populasi negara yang semakin menua membawa cabaran baharu dalam pengurusan sumber manusia. Isu-isu berkaitan tenaga kerja berusia, perlindungan sosial, faedah persaraan dan sebagainya memerlukan perancangan strategik bagi memastikan kesinambungan dan produktiviti dalam perkhidmatan awam seiring dengan kemampanan fiskal negara.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy