Sejahtera Milik Kita

26 Kedua, memperkasakan personaliti pemimpin dan pengikut. Personaliti merupakan kombinasi faktor yang mengklasifikasikan tingkah laku seseorang dan ciri-ciri yang membezakan karakter peribadi antara individu. Personaliti merupakan spektrum sifat-sifat individu yang konsisten dari segi kecenderungan asas mereka untuk berfikir, berasa dan bertindak dengan cara yang tertentu dan ia berbeza antara satu sama lain (Ones 2005). Kajian terdahulu mendapati faktor personaliti kejujuran dan kerendahan hati, kepersetujuan, kehematan, ekstraversi dan kestabilan emosi mampu menyumbang kepada perlakuan yang beretika dan memudahkan pengamalan nilai (Brown & Treviño 2006; Kalshoven et al. 2011; Ahmad Badruddin et al. 2018). Pemimpin dan pengikut yang mempunyai personaliti kejujuran dan kerendahan hati mencerminkan ciri-ciri positif seperti tidak memanipulasi orang lain untuk keuntungan peribadi, mempunyai sedikit keinginan untuk melanggar undang-undang, tidak berminat dalam kekayaan dan kemewahan serta tiada rasa terhadap keistimewaan dan status sosial yang tinggi. Faktor kepersetujuan seperti bersederhana dalam menilai orang lain, bersedia untuk berkompromi dan bekerjasama dengan orang lain, memaafkan dan mempermudahkan merupakan antara ciri-ciri yang mendasari tingkah laku pemimpin. Faktor kehematan pula merujuk kepada kecenderungan pemimpin dan pengikut yang teratur, kemas, berstruktur, berpegang kepada etika, berusaha untuk ketepatan dan kesempurnaan dalam melaksanakan tugas dan membuat pertimbangan dengan berhati-hati apabila membuat keputusan. Selain itu, pemimpin dalam sektor awam dilatih dalam persekitaran yang berstruktur dan perlu mematuhi serta terikat dengan peraturan, birokrasi dan prosedur operasi standard yang merupakan sebahagian daripada ciri-ciri sub faktor kehematan.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy