Garis Panduan Pengurusan Intervensi Bersepadu

1 BAHAGIAN I PENDAHULUAN Tujuan 1. Garis Panduan Pengurusan Intervensi Bersepadu bertujuan menjelaskan Standard Operating Procedure (SOP) dan peranan Ketua Jabatan, Pengurus Sumber Manusia, Pegawai Psikologi, Penyelia serta Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dalam pengurusan kes rujukan pegawai yang mempunyai isu di tempat kerja. Latar Belakang 2. Garis Panduan ini merupakan kesinambungan kepada Ceraian PO.3.1.1. Ia juga merupakan satu nilai tambah kepada mekanisme pengurusan kes rujukan pegawai yang seragam, sistematik dan multi-disiplin melalui pelaksanaan intervensi yang komprehensif. 3. Pegawai yang diperakukan untuk menjalani intervensi bersepadu akan melalui empat (4) fasa iaitu - a) Fasa 1 : Kenal Pasti; b) Fasa 2 : Saringan; c) Fasa 3 : Intervensi dan Pemantauan; dan d) Fasa 4 : Penilaian Kebergunaan. 4. Berdasarkan kepada penilaian keseluruhan intervensi bersepadu, pihak pengurusan sumber manusia boleh membuat keputusan secara objektif dan menentukan tindakan yang sewajarnya. Kerahsiaan 5. Maklumat yang diperolehi daripada intervensi bersepadu adalah SULIT dan tidak perlu direkodkan dalam Buku Rekod Perkhidmatan Pegawai. Bagaimanapun, sekiranya dikehendaki oleh undang-undang, pegawai perlu memberi keterangan selagi ia tidak menjejaskan perkhidmatan awam.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy