Buku Setitik Nila 2.0: Koleksi Pengurusan Kes Tatatertib Pegawai Awam

SEKSI 1. LATAR BELAKANG KES Cik Rina binti Ramli ialah seorang Pegawai Khidmat Pelanggan Gred N19 yang bertugas di kaunter utama lobi Jabatan W. Pegawai telah didapati memakai pakaian yang melanggar etika pakaian pegawai awam, iaitu pakaian yang ketat, jarang dan mencolok mata serta tidak selaras dengan ketetapan dalam peraturan yang berkuat kuasa. Pelanggaran tatakelakuan oleh pegawai tersebut dilakukan pada 13 September 2023, 20 September 2023, 27 September 2023, 11 Oktober 2023 dan 18 Oktober 2023. Terdapat beberapa gambar pegawai telah diambil oleh penyelia di Unit Pentadbiran, Jabatan W sebagai bukti sewaktu kejadian, iaitu semasa pegawai sedang bertugas di kaunter pejabat. Pada masa yang sama, terdapat rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) turut dijadikan sebagai bahan bukti menunjukkan pegawai berpakaian ketat, jarang dan mencolok mata semasa sedang bertugas di kaunter utama lobi JabatanW. Penyelia pegawai, iaitu Puan Fatehah binti Mohamad telah membuat teguran secara lisan pada 15 September 2023 setelah mendapat tahu perihal pegawai memakai pakaian yang tidak sesuai di pejabat berdasarkan gambar yang ditunjukkan kepada beliau. Ketua Jabatan pegawai juga telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) bertarikh 2 Oktober 2023 mengarahkan pegawai mematuhi peraturan yang ditetapkan berhubung tatacara pemakaian di pejabat dan pada masa yang sama mengarahkan pegawai mengemukakan penjelasan atas ketidakpatuhan yang berlaku. Namun, tiada penjelasan yang diterima oleh Jabatan W daripada pegawai terhadap STS tersebut. Pada 11 Oktober 2023 dan 18 Oktober 2023, pegawai sekali lagi masih mengulangi perbuatan yang sama memakai pakaian yang tidak sesuai (ketat, jarang dan mencolok mata) di pejabat dan kawasan kaunter utama lobi sehingga menyebabkan timbul persepsi negatif di kalangan pelanggan yang berurusan dengan Jabatan W. Setitik Nila 2.0: Koleksi Pengurusan Kes Tatatertib Pegawai Awam | 73

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy