Buku Setitik Nila 2.0: Koleksi Pengurusan Kes Tatatertib Pegawai Awam

PENGENALAN 1. PENDAHULUAN Dalam era yang dikenali sebagai Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) ini, perkhidmatan awam Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran yang pastinya menuntut kepada usaha berterusan bagi memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan oleh setiap individu yang bergelar pegawai awam. Selari dengan hasrat tersebut, penekanan ke arah mewujudkan perkhidmatan awam yang telus, berintegriti dan berdisiplin perlu terus dipergiat demi memastikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju tercapai. Pastinya, aspek pematuhan kepada peraturan yang berkuat kuasa adalah sesuatu yang perlu sentiasa dititikberatkan oleh setiap Ketua Jabatan bagi memacu organisasi yang cekap dalam mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan. Berdasarkan perubahan besar yang bakal melanda kehidupan dari aspek politik, sosial, teknologi dan ekonomi dalam era yang mendatang, tidak dapat dinafikan bahawa peranan perkhidmatan awam Malaysia dalam mendepani semua cabaran masa hadapan akan menjadi lebih signifikan. Hanya dengan keutuhan jati diri dan sikap positif pegawai awam sahajalah yang akan dapat menggalas tanggungjawab bagi memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang progresif, maju dan seimbang daripada aspek pembangunan fizikal dan rohani. Justeru, buku ‘Setitik Nila 2.0: Koleksi Pengurusan Kes Tatatertib Pegawai Awam’ ini diterbitkan supaya pengurusan kes tatatertib yang dijelaskan dalam buku ini dapat dijadikan contoh dan panduan khusus kepada pegawai yang terlibat dalam pengurusan kes tatatertib pegawai awam di kementerian/jabatan/agensi masing-masing. Buku ini merupakan kelangsungan daripada ‘Setitik Nila: Himpunan Contoh Kes-Kes Tatatertib’ yang telah diterbitkan oleh Bahagian Perkhidmatan, JPA pada tahun 2009. Pelbagai contoh kes tatatertib yang baharu dan tidak dirangkum dalam buku terdahulu turut dijelaskan dalam buku ini. Setitik Nila 2.0: Koleksi Pengurusan Kes Tatatertib Pegawai Awam | v

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy