JPA Daily Buzz - Edisi 18 2026
m/s 2 Beliau menekankan pemerhatian rasional dan diagnosis klinikal berbanding penjelasan berasaskan kepercayaan tahyul. Dalam karyanya, beliau juga menggariskan prinsip-prinsip untuk menguji keberkesanan ubat mencadangkan bahawa kesan sesuatu bahan perlu diperhatikan secara sistematik dan dinilai dengan konsisten. Pendekatan ini menyerupai asas awal metodologi klinikal. Kita semua tahu Ibn Sina tidak mencipta perubatan moden. Namun beliau membantu menyusun dan menyeragamkan ilmu perubatan dalam bentuk yang mempengaruhi dunia Islam dan Eropah selama berabad-abad. Selain perubatan, Ibn Sina juga merupakan antara ahli falsafah paling berpengaruh pada zamannya. Karya falsafahnya, Kitab al-Shifa’, membincangkan metafizik, logik dan sifat kewujudan. Pemikirannya mempengaruhi sarjana Islam serta tokoh-tokoh skolastik Eropah pada Zaman Pertengahan. Beliau bukan sekadar merawat penyakit. Beliau memikirkan tentang hakikat ilmu dan kewujudan. Keunggulan Ibn Sina juga terletak pada metodologinya. Beliau membezakan penyakit yang mempunyai simptom hampir sama melalui pemerhatian yang teliti dan analisis yang sistematik. Pendekatan ini menunjukkan kematangan pemikiran saintifik yang jarang disedari dalam perbincangan umum hari ini. Persekitaran intelektual zamannya juga memainkan peranan. Ibn Sina hidup dalam era di mana gerakan penterjemahan telah mengumpulkan dan memperkembangkan ilmu Yunani, Parsi dan India. Namun beliau tidak sekadar menyampaikan tradisi tersebut tetapi beliau menilai, menyusun dan memperbaikinya. Dr. Diyana Hassim Ketua Komunikasi Korporat Jabatan Perkhidmatan Awam Kemajuan perubatan sentiasa bersifat kolaboratif merentas tamadun. Al-Qanun sendiri dibina atas tradisi terdahulu, dan kemudiannya dikritik serta dikembangkan lagi oleh sarjana Eropah. Namun tempoh penggunaannya yang panjang membuktikan kedalaman dan kewibawaannya dalam sejarah perubatan global. Mengingati Ibn Sina bukan soal menuntut keunggulan. Ia tentang memahami kesinambungan ilmu. Ilmu bergerak dari Bukhara ke Baghdad, dari Baghdad ke Andalusia, dari Andalusia ke Eropah. Ilmu tidak dimiliki oleh satu tamadun sahaja. Tetapi sumbangan juga tidak seharusnya dilupakan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy