MINISTERIAL FORUM: KETERJAMINAN MAKANAN MENUJU MALAYSIA MADANI Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, telah menyampaikan ucaptama pada program Ministerial Forum Mengenai Keterjaminan Makanan Negara 2023 yang diadakan pada 27 Julai 2023 di Auditorium INTAN, Bukit Kiara. Ministerial Forum ini dianjurkan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membincangkan isu, cabaran dan hala tuju dasar serta strategi pelaksanaan program keterjaminan makanan negara secara berkesan, terarah dan mampan berlandaskan aspirasi Malaysia MADANI. Seramai empat orang ahli panel telah mengambil bahagian dalam forum tersebut iaitu Datuk Badrul Hisham bin Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Profesor Datin Paduka Fatimah binti Mohamed Arshad, Felo Penyelidik, Universiti Putra Malaysia, Tan Sri Dr. Ismail bin Hj. Bakar, Pengerusi Kulim (Malaysia) Berhad dan Datuk Yap Yun Fook, Pemilik Evergreen Livestock Sdn Bhd. Peserta forum terdiri daripada Ahli Akademik, Badan berkanun, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta dan pemain industri agromakanan dan pertanian serta pegawai kerajaan. Antara perkara yang dibincangkan para panel menerusi forum ini ialah peranan Kerajaan dalam meningkatkan keterjaminan makanan, peranan institusi akademik dalam mempromosikan keterjaminan makanan, bagaimana badan berkaitan kerajaan dan sektor swasta berhadapan dengan isu keterjaminan makanan dan faktor kejayaan serta cabaran yang dihadapi oleh pemain industri dalam rantaian bekalan bagi membantu meningkatkan keterjaminan makanan. Forum ini turut menjadi platform berkongsi informasi tentang dasar dan inisiatif yang sedang dilaksanakan Kerajaan ke arah meningkatkan keterjaminan makanan negara serta memupuk jalinan kerjasama dan rangkaian yang kukuh antara sektor kerajaan dan bukan kerajaan dalam menjamin kelestarian dan keterjaminan makanan negara. Ministerial Forum Mengenai Keterjaminan Makanan Negara 2023 ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta seluruh Malaysia. 05 Jabatan Perkhidmatan Awam 062
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy