Laporan Tahunan Jabatan Perkhidmatan Awam 2018

JPA | 51 Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Modal Insan (BMI), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menganjurkan Research Colloquium 2018 (RC 2018) pada 20 September 2018 (Khamis) di Auditorium, INTAN Bukit Kiara. Kolokium ini merupakan program tahunan INTAN dan kali ini adalah tahun kedua INTAN menganjurkannya. Seramai 450 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Kementerian dan Jabatan Persekutuan/Negeri, badan-badan berkanun dan institusi- institusi pengajian tinggi awam telah menghadiri program ini. Peserta program adalah terdiri daripada mereka yang kini telah kembali bertugas di kementerian dan jabatan masing-masing. Sebelum ini mereka adalah merupakan pegawai yang telah menerima Hadiah latihan Persekutuan (HLP) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dan ijazah kedoktoran (Ph.D) di universiti di dalam dan luar negeri. Objektif penganjuran RC 2018 ini adalah seperti berikut: i. untuk mewujudkan satu platform perkongsian ilmu mengenai kajian-kajian yang telah dilaksanakan oleh penjawat awam yang telah menamatkan tajaan Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dalam program sarjana atau ijazah kedoktoran (Ph.D.) atau; ii. untuk mengenalpasti hasil kajian yang mempunyai implikasi ke atas dasar kerajaan untuk dibuat penambahbaikkan; dan iii. untuk mengenalpasti kajian yang sesuai untuk diterbitkan. Penganjuran RC 2018 ini telah menjadi satu forum kepada para penerima HLP yang telah berjaya menamatkan kajian di peringkat sarjana dan Ph.D untuk membentang penemuan hasil kajian mereka. Sehubungan dengan itu, program ini telah menyediakan satu platform untuk memperolehi pengetahuan baharu dari hasil dapatan penyelidikan pegawai-pegawai Kerajaan yang seterusnya dapat mengkukuhkan apresiasi kepentingan penyelidikan di dalam kalangan penjawat awam. Selain itu, RC 2018 berperanan sebagai mekanisme untuk mengenal pasti dapatan-dapatan kajian yang mempunyai implikasi dasar dan mengetengahkannya sebagai input kepada penggubalan atau penambahbaikan dasar dan peningkatan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Pada RC 2018 lalu, Sebanyak 37 kertas penyelidikan telah dibentangkan oleh 23 orang bekas penerima HLP di peringkat sarjana dan 14 orang bekas penerima HLP di peringkat PhD. dalam pelbagai bidang. Sebanyak 8 sesi pembentangan selari telah dijalankan dalam RC 2018 ini yang meliputi pembentangan kajian-kajian dalam tujuh (7) bidang tema utama seperti berikut: i. Antarabangsa dan Keselamatan; ii. Pentadbiran Am dan Dasar, dan Pengurusan Teknologi; iii. Public Private Partnership dan Pengurusan Perolehan; iv. Sosiologi dan Kemanusiaan; v. Ekonomi dan Kewangan; vi. Sumber Manusia; dan vii. Pentadbiran Tanah dan Pengajian Islam. Hasil daripada kollokium ini, INTAN telah dapat mengeluarkan penerbitan prosiding yang mengandungi himpunan kertas penyelidikan yang dibentangkan. Selaku institusi latihan dan pembelajaran perdana bagi sektor awam, INTAN berperanan sebagai pemacu transformasi ke arah memartabatkan keilmuan dan membudayakan penyelidikan dalam sektor awam. Justeru, menerusi Research Colloquium ini , penemuan dan saranan penyelidikan yang berpotensi besar ke arah menjana impak signifikan, akan terus diketengahkan menerusi forum-forum tertentu kepada kementerian dan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat supaya pelaksanaannya kelak dapat menyumbang manfaat besar kepada rakyat keseluruhannya. RESEARCH COLLOQUIUM 2018 (RC 2018)

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy