KERAJAAN SERI PADUKA BAGINDA
MALAYSIA


PEKELILING PERKHIDMATAN BILANGAN 4 TAHUN 2000


PINDAAN FORMULA GAJI HARIAN, IMBUHAN TETAP
KHIDMAT AWAM, BAYARAN LEBIH MASA DAN CUTI REHAT
BERGAJI PENUH BAGI ANGGOTA SAMBILAN

 

TUJUAN

1.    Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan untuk meminda formula Gaji Harian, Imbuhan Tetap Khidmat Awam, Bayaran Lebih Masa dan Cuti Rehat Bergaji Penuh bagi anggota sambilan.

LATAR BELAKANG

2.    Pelaksanaan Hari Rehat Sabtu pada hari Sabtu pertama setiap bulan mulai 1 Januari 1999 dan hari Sabtu ketiga setiap bulan mulai 1 Februari 2000 telah memberi kesan ke atas pengiraan hari bekerja bagi anggota sambilan. Anggota sambilan juga telah menggantikan masa bekerja bagi hari-hari Sabtu yang dijadikan Hari Rehat Sabtu. Walau bagaimanapun mereka tidak dibayar gaji atau bayaran lebih masa bagi masa yang digantikan tersebut. Bagi memberi kesaksamaan dan keadilan kepada anggota sambilan maka formula pengiraan Gaji Harian, Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA), Bayaran Lebih Masa dan Cuti Rehat Bergaji Penuh bagi anggota sambilan dipinda.

PELAKSANAAN

3.    Peruntukan 27 hari dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1994 dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1997 adalah dipinda kepada 25 hari. Peruntukan-peruntukan lain dalam kedua-dua Pekeliling Perkhidmatan di atas adalah tidak berubah.

4.    Pindaan formula pengiraan yang terlibat adalah seperti berikut:

      4.1

Gaji Harian

Gaji Permulaan Sebulan Mengikut Skim Perkhidmatan Pegawai Dilantik
25 Hari Bekerja

=      Kadar Gaji Harian
4.2

Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA)

Kadar ITKA Mengikut Kategori Perkhidmatan Pegawai Dilantik
25 Hari Bekerja

=      Kadar ITKA Sehari
4.3

Bayaran Lebih Masa

Gaji Harian x 25 Hari Bekerja X 12 Bulan                                
313 Hari Bekerja x 8 Jam

=      Kadar Bayaran Sejam
4.4

Cuti Rehat Bergaji Penuh

Anggota sambilan layak diberi satu hari Cuti Rehat bergaji penuh bagi setiap kali genap 25 hari bekerja tetapi tidak melebihi 7 hari cuti rehat dalam satu tahun kalendar. Baki cuti rehat yang tidak diambil, tidak boleh dibawa ke tahun berikutnya.

TARIKH KUATKUASA

5.    Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Februari 2000.

PEMAKAIAN

6.    Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PEMBATALAN

7.    Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, maka-

      7.1

formula Gaji Harian, Imbuhan Tetap Khidmat Awam dan Bayaran Lebih Masa di perenggan 3.1.1.1, 3.1.2.1 dan 3.1.3.2 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1994 ; dan

7.2

perenggan 2.1.1 Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1997

adalah dibatalkan.

 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

sig.jpg (8845 bytes)
( TAN SRI DATO’ SAMSUDIN BIN OSMAN )
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Malaysia.

JABATAN PERKHIDMATAN AWAM
MALAYSIA
KUALA LUMPUR

17 April 2000

Semua Ketua Setiausaha Kementerian
Semua Ketua Jabatan Persekutuan
Semua Y. B. Setiausaha Kerajaan Negeri
Semua Pihak Berkuasa Berkanun
Semua Pihak Berkuasa Tempatan