Pelantikan

 139 CERAIAN UP.1.4.1 DASAR DAN PROSEDUR PENGAMBILAN PEKERJA SAMBILAN HARIAN TUJUAN 1. Ceraian ini bertujuan menjelaskan dasar dan prosedur pengambilan Pekerja Sambilan Harian bagi menggantikan pengambilan Pekerja Sambilan dan Pekerja Khidmat Singkat. LATAR BELAKANG 2. Pada masa ini, pelaksanaan tugas yang bersifat sementara dalam tempoh masa yang singkat dibuat melalui pengambilan Pekerja Sambilan yang telah dijelaskan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 1978: Perubahan Kadar Bayaran Gaji Sehari Bagi Pekerja-Pekerja Sambilan serta beberapa peraturan lain yang dikeluarkan selepas itu. 3. Sebagai alternatif kepada Pekerja Sambilan, Kerajaan juga memperkenalkan Pekerja Khidmat Singkat (PKS) bagi melaksanakan tugas tertentu dengan dibayar upah ikut jam (hourly rate) atau upah ikut kerja (piece rate). Kaedah ini dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 1999: Skim Bayaran Upah Ikut Jam atau Kerja. 4. Memandangkan pengambilan Pekerja Sambilan dan PKS telah menimbulkan isu pertindihan tugas dan tanggungjawab, perbezaan kadar bayaran upah serta kekeliruan kepada Ketua Jabatan, Kerajaan memutuskan untuk memperkenalkan pengambilan Pekerja Sambilan Harian bagi menggantikan pengambilan Pekerja Sambilan dan PKS. Dengan satu (1) kaedah pengambilan ini, Ketua Jabatan lebih mudah membuat pengambilan pekerja untuk melaksanakan sesuatu tugas secara harian di samping menyeragamkan waktu bekerja serta kadar upah bagi meningkatkan produktiviti dan sistem penyampaian perkhidmatan.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy