4 CERAIAN SR.4.1.1 PELAKSANAAN WAKTU BEKERJA FLEKSI (WBF) DI AGENSI KERAJAAN PERSEKUTUAN TUJUAN 1. Ceraian ini bertujuan menetapkan pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) di agensi Kerajaan Persekutuan di seluruh negara. LATAR BELAKANG 2. Elemen fleksibiliti bagi waktu bekerja dalam perkhidmatan awam telah dilaksanakan sejak tahun 1998 apabila Kerajaan memperkenalkan WBB. Mulai 1 Januari 2018, WBB yang dilaksanakan adalah sepertimana yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2017 yang terdiri daripada empat (4) Waktu Peringkat (WP) iaitu WP1, WP2, WP3 dan WP4 di mana pegawai boleh bekerja mengikut WP yang dipilih dengan kelulusan Ketua Jabatan. Kerajaan juga telah membuat penambahan empat (4) lagi WP yang dilaksanakan khusus pada bulan Ramadan iaitu WP5, WP6, WP7 dan WP8. 3. Selaras dengan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas, Kerajaan bersetuju menambah baik aturan kerja sedia ada daripada persekitaran kerja yang tegar kepada persekitaran kerja yang fleksibel dengan melaksanakan WBF di agensi Kerajaan Persekutuan. WBF secara rintis di Kementerian/Jabatan Persekutuan di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah telah dilaksanakan mulai 1 Mac 2019. Berdasarkan hasil kajian rintis ini, Kerajaan telah bersetuju supaya WBF ini dilaksanakan di semua agensi Kerajaan Persekutuan di seluruh negara. WAKTU BEKERJA FLEKSI 4. WBF merupakan masa bekerja yang fleksibel di mana pegawai diberi fleksibiliti untuk hadir bekerja dalam tempoh waktu masuk dan waktu pulang yang ditetapkan, dengan syarat memenuhi tempoh waktu bekerja sehari. WBF diperuntukkan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang sebelum ini mengguna pakai WBB.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy