80 CERAIAN SR.2.7.1 KEMUDAHAN PEMERIKSAAN KESIHATAN ATAS ASAS KEPERLUAN PERKHIDMATAN TUJUAN 1. Ceraian ini bertujuan untuk menjelaskan pelaksanaan kemudahan pemeriksaan kesihatan atas asas keperluan perkhidmatan kepada pegawai. LATAR BELAKANG 2. Kemudahan Pemeriksaan Kesihatan bagi pegawai telah dilaksanakan melalui Perintah Am 29, Bab F Tahun 1974 yang memperuntukkan pemeriksaan kesihatan percuma bagi pegawai seperti yang berikut: i) pegawai yang berjaya mendapat jawatan dalam sebarang perkhidmatan Kerajaan yang dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan; dan ii) pegawai yang dipilih untuk menghadiri kursus yang diluluskan oleh Kerajaan yang disyaratkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. 3. Selain daripada itu, Kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM), Ceraian SR.2.5.1 menetapkan supaya pegawai digalakkan menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi pelaksanaan Saringan Kesihatan Kendiri (SKK). Pada masa yang sama, Kerajaan telah menetapkan pegawai yang berumur 40 tahun dan ke atas adalah digalakkan menjalani Pemeriksaan Kesihatan Komprehensif (PKK) dari semasa ke semasa. Dalam hal ini, SKK dan PKK tersebut tidak dikenakan sebarang bayaran sekiranya pegawai menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan Kerajaan. Namun begitu, SKK dan PKK yang dilaksanakan di fasiliti/premis kesihatan swasta adalah atas tanggungan pegawai sendiri. 4. Selaras dengan hasrat untuk memastikan tahap kesihatan pegawai berada pada tahap yang terbaik untuk menjamin keberkesanan pelaksanaan tugas, Kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 - Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan bersetuju untuk menambah baik pelaksanaan kemudahan pemeriksaan kesihatan dengan memanjangkan kemudahan ini kepada pegawai yang diarahkan oleh Ketua Jabatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan atas keperluan perkhidmatan sama ada bagi keperluan statutori atau keperluan organisasi.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy