231 CERAIAN PO.3.1.4 PANDUAN PELAKSANAAN PEMENTORAN SEKTOR AWAM TUJUAN 1. Ceraian ini bertujuan menjelaskan pelaksanaan pementoran dalam sektor awam. LATAR BELAKANG 2. Pementoran merupakan sebahagian daripada kaedah pelaksanaan aplikasi psikologi dalam pengurusan sumber manusia seperti yang digariskan dalam Ceraian PO.3.1.1: Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam. 3. Pementoran merupakan hubungan profesional yang sistematik dan berstruktur antara seorang mentor yang lebih berpengalaman dan seorang menti. Proses pementoran melibatkan bimbingan, perkongsian ilmu, maklum balas berterusan dan pendedahan kepada amalan terbaik yang dapat mempercepat pembelajaran dan penyesuaian menti dalam persekitaran kerja. 4. Pementoran merupakan kaedah pembangunan bakat yang efektif bagi memastikan peningkatan kompetensi individu dan kesinambungan kepimpinan dalam organisasi serta pemindahan pengetahuan secara berterusan dalam sektor awam. Ia dirangka bagi menyokong usaha memperkukuh kompetensi dan memupuk budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan penjawat awam. 5. Sehubungan itu, Ceraian ini dikeluarkan bagi menjelaskan jenis dan garis panduan pelaksanaan program pementoran dalam sektor awam yang boleh dijadikan sumber rujukan dan panduan kepada ketua jabatan dan pengurus sumber manusia untuk melaksanakan program pementoran secara berkesan. PELAKSANAAN 6. Pelaksanaan program pementoran perlu dirancang dengan teliti, melibatkan proses pemadanan mentor dan menti secara strategik berdasarkan kompetensi yang ingin dibangunkan, bidang kepakaran dan keperluan pembangunan individu. Aspek seperti tempoh sesi, objektif, kaedah pelaksanaan dan pemantauan serta penilaian keberkesanan pementoran perlu dinyatakan dengan jelas.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy