Perlembagaan Persekutuan CATATAN Per. 137 Fasal (3) a. Fasal yang ada sekarang digantikan oleh Akta 10/1960, seksyen 19, berkuat kuasa dari 31-05-1960. Fasal yang dahulu berbunyi seperti yang berikut: “(3) Majlis Angkatan Tentera hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut, iaitu— (a) Menteri yang pada masa ini dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pertahanan, yang hendaklah menjadi pengerusi; (b) seorang anggota mewakili Duli-Duli Yang Maha Mulia, yang hendaklah dilantik oleh Majlis Raja-Raja; (c) Pegawai Pemerintah Agung Angkatan Tentera Persekutuan, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan hendaklah menjadi Ketua Turus Angkatan Tentera Persekutuan; (d) pegawai turus kanan Tentera Persekutuan yang bertanggungjawab bagi kakitangan dan pegawai turus kanan Tentera Persekutuan yang bertanggungjawab bagi barang stor, kelengkapan dan rumah Kerajaan; (e) mana-mana pegawai yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memerintah Tentera Laut Persekutuan atau Tentera Udara Persekutuan; (f) seorang anggota preman, iaitu orang yang melaksanakan tugas-tugas jawatan Setiausaha Pertahanan, yang hendaklah bertindak sebagai setiausaha kepada Majlis; (g) seorang anggota tambahan, jika ada, sama ada anggota tentera atau preman, yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.”. b. Perkataan “Tentera Laut Diraja Malaya” dalam perenggan (f) dan “Tentera Udara Diraja Malaya” dalam perenggan (g) masing-masing digantikan dengan perkataan “Tentera Laut Persekutuan” dan “Tentera Udara Persekutuan” oleh Akta 26/1963, seksyen 70, berkuat kuasa dari 16-09-1963. c. Perkataan “Duli-Duli Yang Maha Mulia” dalam perenggan (b) digantikan dengan perkataan “Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja” oleh Akta A31, seksyen 2, berkuat kuasa dari 24-03-1971. d. Lihat Akta Angkatan Tentera 1972 [Akta 77]. e. Perkataan “Ketua Turus Angkatan Tentera” digantikan dengan perkataan “Panglima Angkatan Tentera” oleh Akta A1130, subseksyen 10(1), berkuat kuasa dari 28-09-2001. Catatan: 1. Apabila Akta A1130 mula berkuat kuasa, tiap-tiap sebutan tentang “Ketua Turus Angkatan Tentera” dalam semua undang-undang bertulis hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan tentang “Panglima Angkatan Tentera”. 2. Apa-apa tindakan yang diambil oleh, atas nama atau terhadap “Panglima Angkatan Tentera” sebelum Akta A1130 mula berkuat kuasa hendaklah disifatkan telah diambil dengan sah dan menurut undang-undang jika tindakan itu boleh diambil dengan sah dan menurut undang-undang oleh, atas nama atau terhadap Ketua Turus Angkatan Tentera.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy