Varia Ranah - Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam

595 Varia Ranah: Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam Menurut Batista-Taran et al. (2009), keterlibatan merujuk kepada penglibatan dan kepuasan dalam bekerja. Wujud di kalangan pekerja ketika mereka mengetahui apa yang perlu dilakukan, mempunyai sumber mencukupi untuk menyelesaikan tugas, penglibatan dalam peluang untuk pembangunan dan maklumbalas serta merasai diri dihargai selalu melalui sumbangan yang diberikan kepada organisasi. UK Civil Service People Survey (2013), telah meneliti beberapa faktor yang menyumbang kepada tahap keterlibatan pegawai di dalam organisasi. Faktor- faktor adalah seperti pekerjaan, pasukan kerja, persepsi terhadap penyelia, kepimpinan dan pengurusan perubahan, sumber dan beban kerja, hala tuju dan objektif organisasi, pembelajaran dan pembangunan, gaji dan kemudahan, keterangkuman dan layanan yang adil, budaya organisasi dan mengambil tindakan. Kajian ini turut mengenalpasti peningkatan tahap keterlibatan pegawai dalam organisasi berupaya memberi impak kepada organisasi mereka, antaranya, peningkatan pendapatan, kepuasan hati pelanggan, produktiviti dan prestasi, inovasi, pengekalan pekerja di mana pegawai bertukar keluar adalah rendah dan secara tidak langsung tiada keperluan pelantikan pegawai baharu. Kajian Indeks Keterlibatan Penjawat Awam Perkhidmatan Awam Persekutuan (IKPA) 2015 dan 2018 Pada tahun 2015, Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar, Jabatan Perkhidmatan Awam telah menjalankan Kajian Indeks keterlibatan Penjawat Awam Perkhidmatan Awam Persekutuan (IKPA). Kajian ini yang pertama kali diadakan khusus untuk perkhidmatan awam di Malaysia yang bertujuan mengukur tahap keterlibatan pegawai di 24 kementerian yang merangkumi 173 jabatan dan agensi. IKPA ini merupakan satu alat pengukuran terbaik yang digunakan sebagai sandaran utama kepada nilai kejayaan atau kegagalan sesebuah organisasi dan selari dengan usaha JPA merangka, membangun dan melaksanakan pembaharuan sektor awam di samping memenuhi kemajuan kerjaya pegawai.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy