Varia Ranah - Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam
550 Varia Ranah: Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam Cabaran Bekerja Dari Rumah Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Penjawat Awam Siti Athirah binti Saharudin, F41 ABSTRAK Wabak Coronavirus 2019 atau COVID-19 yang bermula di Wuhan, sebuah bandaraya di wilayah Hubei China telah disahkan dijumpai pada pertengahan November tahun 2019. Pertubuhan Kesihatan Dunia atau WHO (2020) telah mengumumkan pandemik pada 11 Mac 2020 di mana telah pun melibatkan 215 buah negara. Mengambil langkah proaktif dan menjaga kemaslahatan rakyatnya, Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020. Bagi mengurangkan penularan wabak ini, hanya perkhidmatan-perkhidmatan asas dibenarkan beroperasi demi memastikan keperluan orang ramai tidak terjejas. Sektor perkhidmatan awam, melalui surat arahan bertarikh 17 Mac 2020 dengan jelas menyatakan bahawa semua pegawai diarahkan untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) dan boleh diarahkan untuk ke pejabat oleh Ketua Jabatan jika perlu. Walaupun pegawai awam berdepan dengan cabaran melaksanakan tugas hakiki di rumah, mereka juga perlu akur dengan arahan yang dikeluarkan memandangkan terikat dengan Peraturan-Praturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993]. Banyak persoalan yang dilontarkan melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter sekaligus memaparkan kebimbangan rakyat secara umum untuk duduk di rumah diam- diam tetapi masih perlu menjalankan amanah yang ditugaskan. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang cakna dengan situasi tersebut telah pun mengeluarkan senarai soalan lazim berkaitan urusan pengurusan sumber manusia sebagai garis panduan asas. Setelah melalui fasa genting sepanjang PKP 1 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat pada 9 Jun 2020, JPA perlu melihat sisi-sisi di mana polisi-polisi baharu yang berkemungkinan perlu dikeluarkan sebagai panduan dan arahan dalam membendung penularan wabak ini.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy