Varia Ranah - Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam
242 Varia Ranah: Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam Ketidaksepadanan kemahiran Kadar pengangguran graduan juga disebabkan berlakunya ketidaksepadanan antara kemahiran yang khusus yang diperlukan dalam pasaran buruh dengan kualiti pendidikan dan latihan yang disediakan oleh institusi-institusi pengajian tinggi. Ketidaksepadanan kemahiran mempunyai banyak dimensi: keseimbangan dalam permintaan-penawaran antara bidang pengajian (seperti kemanusiaan, sains dan kejuruteraan), keseimbangan antara kemahiran teknikal dan generik (insaniah) dan keseimbangan antara teori dan berorientasikan amalan dalam pendidikan dan latihan yang diterima. Sebahagian daripada ketidaksepadanan kemahiran adalah hasil pilihan kerjaya individu dari segi bidang pengajian dan keutamaan berkaitan pekerjaan. Ketidaksepadanan kemahiran boleh juga timbul dari kelemahan oleh institusi pendidikan tertiari dalam bentuk kualiti pendidikan, fakulti dan pedagogi, dalam penyampaian program akademik yang disesuaikan dengan keperluan pasaran dan sama ada kaunseling kerjaya diberikan kepada para pelajar. Kajian kes yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) (2007a; 2007b) pula mendapati bahawa secara umumnya, majikan memerlukan pekerja-pekerja yang mempunyai kemahiran komunikasi dengan ciri-ciri personal yang baik dan pengetahuan dalam ICT. Kemahiran am yang diperlukan oleh majikan adalah kemahiran bahasa, pengetahuan am dan semasa, kebolehan untuk melayan pelanggan, pengetahuan am dalam ICT dan pengalaman atau pendedahan bekerja. 86 peratus majikan menganggap bahawa kemahiran berkomunikasi dengan baik adalah sangat penting dan kebanyakan majikan kurang berpuas hati dengan cara para graduan mempersembahkan diri mereka dengan berkesan
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy