Varia Ranah - Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam
198 Varia Ranah: Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam c. Pelaksanaan Kerajaan Digital di Australia dan Malaysia Pelaksanaan Kerajaan Digital di Australia diterajui oleh Agensi Transformasi Digital (Digital Transformation Agency, DTA, dipetik dari https://www.dta.gov.au/about-us) dan merupakan one-stop agensi yang menyediakan dasar, standard dan platform untuk penyampaian perkhidmatan ICT dan digital seluruh kerajaan, serta khidmat rundingan mengenai cadangan pelaburan ICT dan digital. Pelaburan tersebut juga akan dipantau oleh agensi tersebut. Pelaksanaan Kerajaan Digital Australia dipacu oleh Strategi Transformasi Digital 2018 – 2025 (Digital Transformation Strategy 2018—2025, dipetik dari https://www.dta.gov.au/book/export/html/594) , dan berteraskan tiga matlamat: 1. Mudah berurusan – perkhidmatan kerajaan senang dicapai dan digunakan, dan diintegrasikan bagi memenuhi keperluan life events dengan satu identiti digital yang selamat digunakan, seperti myGov. Maklumat myGov ini boleh digunakan untuk antaranya urusan cukai, urusan pendaftaran dan pembayaran di hospital, wang kebajikan dan mencari kerja (https://my.gov.au/mygov/content/html/about.html ). 2. Kerajaan yang mendapat maklumbalas dari rakyat – perkhidmatan pintar untuk rakyat berdasarkan maklumat yang dikongsikan, serta perkhidmatan yang lebih baik dengan ketelusan dan kepercayaan. Ini termasuklah pelaksanaan Perkongsian Integrasi Data untuk Australia (Data Integration Partnership for Australia), di mana data sektor awam dikongsikan untuk kegunaan pelbagai agensi kerajaan. 3. Kerajaan yang sesuai untuk era digital – mengembangkan keupayaan digital dan membangunkan infrastruktur moden. Ini termasuklah penyediaan perkhidmatan sektor awam dalam talian, dan penjawat awam bertanggungjawab membantu rakyat sekiranya perkhidmatan tersebut tidak dapat sampai di atas sebab-sebab tertentu, seperti talian internet kurang baik. Pembangunan infrastruktur berkaitan juga akan diteliti dan dimaklumkan kepada rakyat status pelaksanaannya.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy