Varia Ranah - Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam
178 Varia Ranah: Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam Walaupun penelitian dan kritikan terhadap sesebuah kerajaan sudah lama dipraktikan dalam sejarah peradaban manusia, idea untuk sesebuah kerajaan untuk telus dan memberi akses kepada maklumat adalah idea yang agak moden yang berasal dari Age of Enlightenment (atau Age of Reason ) pada abad ke-17 dan ke-18. Tempoh masa ini juga dikaitkan dengan letupan "budaya cetak" di Eropah yang menyaksikan pelbagai akhbar, buku, dan esei dicetak dan menjurus kepada revolusi pemikiran, dan revolusi di Amerika Syarikat dan Perancis (Chernoff, n.d.). Revolusi kerajaan ini juga menyaksikan hak kebebasan bersuara, ekspresi, berhimpun dan kebebasan media termaktub dalam undang-undang kebanyakkan negara di Eropah Barat dan Amerika Syarikat. Hak-hak ini menjadi asas kepada apa boleh digelar “kerajaan terbuka” dan telus pada masa itu, dan masih menjadi asas kepada tafsiran moden kerajaan terbuka (Chernoff, n.d.). Antara usaha awal mewujudkan kerajaan terbuka di negara-negara ini termasuklah meletakkan notis awam untuk mesyuarat kerajaan, akses awam kepada perbincangan, pertimbangan, dan keputusan pegawai kerajaan, dan memberi peluang untuk memberi testimoni, ulasan, dan rayuan oleh orang awam. Langkah-langkah ini diambil bertujuan memupuk budaya kerajaan yang telus, mudah dicapai, dan bertanggungjawab (Chernoff, n.d.). Namun, pelaksanaan kerajaan terbuka juga perlu melibatkan penyertaan rakyat dalam inisiatif-inisiatif kerajaan. Di sesetengah negara yang melaksanakan kerajaan terbuka, penglibatan rakyat dalam membuat keputusan awam, terutamanya di peringkat kerajaan tempatan, merupakan reaksi kepada keperluan mendesak rakyat seperti kajian semula program dan pelaksanaan dasar-dasar awam spesifik, dan keperluan memutuskan kitaran kebergantungan kepada program-program kebajikan (Reale, 2014). Dalam hal ini, negara-negara ini mempromosikan penyertaan proaktif rakyat untuk membolehkan sumber-sumber sedia ada, seperti rangkaian dan modal sosial, ditambahbaik untuk memastikan keberkesanan dan kelestarian intervensi social (Reale, 2014).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy