Varia Ranah - Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam
162 Varia Ranah: Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam e) Permohonan pembiayaan perumahan ditolak Memiliki hartanah kediaman kini menjadi salah satu perkara yang ada dalam senarai impian setiap orang. Namun impian tersebut semakin sukar untuk digapai pada hari ini akibat kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan pembiayaan. Antara faktor yang menjejaskan peluang bumiputera untuk memiliki rumah di Greater KL ialah permohonan pinjaman sering ditolak oleh pihak bank atau institusi kewangan dengan alasan pemohon tidak mempunyai keupayaan untuk membuat bayaran balik pinjaman. Berdasarkan rekod Bank Negara Malaysia, pada tahun 2018, 60% permohonan pinjaman perumahan telah ditolak oleh pihak bank. Ini disebabkan beberapa punca antaranya pemohon mempunyai pendapatan yang tidak stabil dan komitmen yang terlalu tinggi. Sebab yang kedua ialah penjual atau pemaju perumahan telah disenaraihitam seperti muflis. Undang-undang negara menggariskan bahawa sesiapa yang diisytiharkan muflis dilarang membuat sebarang urus niaga atau transaksi mengenai harta tanah mereka. Sebab yang ketiga pula ialah nilai hartanah kediaman yang dibuat oleh pihak bank adalah berbeza dengan penjual. Perbezaan besar dalam penilaian hartanah antara penjual dan pihak bank terutamanya untuk rumah sub-sale boleh membuatkan permohonan pinjaman ditolak oleh institusi kewangan. Keempat, pemohon mempunyai Skor Nisbah Perkhidmatan Hutang (DSR) yang terlalu tinggi yang menyebabkan permohonan pinjaman ditolak oleh bank. Keempat-empat sebab ini menjadi antara punca kepada penolakan permohonan pinjaman perumahan oleh pihak bank meskipun seseorang itu mempunyai rekod yang baik dalam menguruskan kewangan dan lain-lain pinjaman. Ini kerana melalui penilaian ini, bank menganggap pemohon tidak akan mampu membayar balik pinjaman sekiranya ia diluluskan. Pinjaman sering ditolak oleh pihak bank atau institusi kewangan dengan alasan pemohon tidak mempunyai keupayaan untuk membuat bayaran balik pinjaman
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy