Varia Ranah - Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam

144 Varia Ranah: Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam Cabaran Bumiputera Dalam Pemilikan Rumah Di Greater Kuala Lumpur Ju Hasliza binti Md. Hussin, M48 ABSTRAK Pemilikan rumah merupakan satu isu nasional yang membelenggu rakyat Malaysia pada hari ini terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mencari rezeki di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya. Kualiti hidup yang baik di bandar tidak hanya diukur menerusi kemudahan dan infrastruktur yang tersedia, sebaliknya turut melibatkan keupayaan memiliki rumah dalam kalangan keluarga di bandar. Bumiputera menghadapi cabaran yang getir untuk memiliki rumah sendiri di Greater Kuala Lumpur kerana kebanyakan rumah yang dibina oleh pemaju perumahan tidak membenarkan mereka yang berada dalam kelompok isi rumah di bawah segmen B40 dan M40 untuk memiliki rumah disebabkan harga pasaran yang ditawarkan adalah di luar kemampuan. Meskipun pelbagai polisi dan insentif yang diberi dan diwujudkan oleh Kerajaan, namun ia masih lagi tidak berjaya meningkatkan penguasaan bumiputera dalam pemilikan hartanah kediaman. Kemampuan untuk memiliki sekurang- kurangnya satu unit rumah bagi setiap keluarga akan terus menjadi fokus utama bagi masyarakat hari ini dan generasi akan datang sehingga ia mencukupi dan tersedia untuk memenuhi pelbagai kategori pendapatan isi rumah di Malaysia. Cabaran bumiputera dan situasi semasa pasaran perumahan di Greater Kuala Lumpur yang juga merupakan bandar raya yang paling pesat berkembang di Malaysia dipilih sebagai topik kajian ini. Ia diharap dapat membantu dalam menyalurkan maklumat kepada perkembangan ilmu pengetahuan agar mempergiatkan lagi kajian yang lebih luas dalam aspek imbangan sosio ekonomi antara bumiputera dengan bukan bumiputera dari sudut pemilikan rumah di kawasan bandar, seterusnya dapat menjadi salah satu sumber rujukan kepada pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam industri perumahan.

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy