Varia Ranah - Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam

113 Varia Ranah: Sorotan Ilmiah Perkhidmatan Awam PENGENALAN Prestasi kerja adalah salah satu elemen penting dalam sesebuah organisasi. Terdapat dua elemen penting bagi sesebuah organisasi iaitu sumber manusia dan prestasi kerja. Dua sebab utama kepentingan prestasi kerja dalam sebuah organisasi adalah pertamanya, prestasi kerja yang tinggi meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Organisasi dengan individu berprestasi tinggi adalah organisasi yang mampu bersaing di peringkat nasional dan juga global. Peri pentingnya pekerja yang berprestasi tinggi kepada sesebuah organisasi seumpama pentingnya minyak pelincir kepada sebuah mesin. Sebagaimana pelincir digunakan dalam mesin atau alat untuk melicinkan pergerakan mesin dan meningkatkan jangka hayatnya, pekerja yang dapat menunjukkan prestasi yang baik dalam organisasi dapat mencegah dan menyelesaikan masalah serta membantu organisasi dalam penghasilan output atau penyampaian perkhidmatan (Fatimah, 2020). Pekerja yang berprestasi tinggi juga merupakan sumber motivasi kepada rakan sekerja dan menjadi agen positif bagi organisasi. Oleh yang demikian, tidak hairanlah organisasi sering memberikan perhatian utama kepada prestasi kerja pekerjanya (Gilboa et al., 2008). Prestasi kerja juga penting bagi organisasi kerana ia boleh memberikan kepuasan kepada pekerja. Bagi seorang pekerja hasil kerja mereka melambangkan diri individu berkenaan. Kemampuan melaksanakan tugas dengan betul dan cekap menjadi sumber kepuasan, kebanggaan, dan peningkatan motivasi (Van Scotter et al., 2000). Prestasi kerja yang tinggi dapat memberikan pulangan dan pengiktirafan positif bagi individu dan meningkatkan imej peribadi, manakala, prestasi kerja yang rendah boleh menyebabkan rasa tidak puas hati dan dianggap sebagai tanda kegagalan. Pekerja yang berprestasi tinggi merupakan aset kepada organisasi sebagai pemangkin pertumbuhan dan menjadi sumber motivasi kepada rakan sekerja

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy