Varia Ranah - Penerapan Konsep Malaysia MADANI Dalam Perkhidmatan Awam 2023

90 Penerapan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam Di negara jiran kita Indonesia, Dacholfany (2012) menerangkan bahawa konsep masyarakat Madani merupakan satu bentuk pengislaman konsep masyarakat sivil (civil society). Apa yang menarik menurut Dacholfany (2012) adalah orang yang pertama kali mengungkapkan istilah “Masyarakat Madani” adalah YAB Perdana Menteri ke-10 sendiri pada tahun 1995. Kajian Dacholfany (2012) menyimpulkan bahawa agama Islam adalah tunjang dan kompas moral yang utama bagi konsep masyarakat Madani dan institusi demokrasi sedia ada tidak dapat mengatasi kompas moral ini. Oleh yang demikian, kewujudan masyarakat Madani adalah satu bentuk peradaban yang menuntut setiap individu supaya saling menghargai perbezaan tanpa merosakkan integrasi kehidupan. Manakala dalam konteks kerajaan perpaduan pimpinan YAB Perdana Menteri ke-10 pula, ia merupakan pembingkaian kerja yang berteraskan kepada enam perkara iaitu; i) Kemampanan; ii) Kesejahteraan; iii) Daya Cipta; iv) Hormat; v) Keyakinan; dan vi) Ihsan. Keenam-enam perkara ini dijadikan teras utama dalam sebarang dasar dan pendekatan yang akan diambil oleh kerajaan dalam membangunkan negara dan pada masa yang sama memulih kepercayaan dan harapan rakyat (Ibrahim 2022). PERBINCANGAN Hasil daripada tinjauan literatur yang dilakukan penulis, terdapat beberapa topik yang menjadi perhatian dalam membincangkan AI di dalam perkhidmatan awam di Malaysia. Topik yang akan disentuh adalah berkaitan dengan perkembangan semasa AI di Malaysia, dasar serta halatuju kerajaan bagi AI dan seterusnya adalah pengadaptasian AI di dalam sektor awam Malaysia. A. Perkembangan Semasa AI Malaysia Merujuk kepada Indeks Ketersediaan AI Kerajaan 2022 (Government AI Readiness Index 2022) yang dikeluarkan oleh Oxford Insights, Malaysia berada di kedudukan ke-29 daripada 181 negara-negara dunia. Kedudukan yang dicatatkan di dalam laporan ini boleh digunakan sebagai satu petunjuk bahawa Malaysia berada di dalam kelompok negara-negara dunia yang sedang berusaha mempersiapkan diri dalam menghadapi arus perubahan yang akan dibawa oleh keupayaan AI. Jika melihat dari sisi geografi yang lebih kecil iaitu kedudukan Malaysia di rantau Asia Timur, Malaysia berada dalam kedudukan ke-enam daripada 17 negara (rujuk Rajah 2). Tidak setakat itu sahaja, pencapaian Malaysia adalah melepasi paras piawai dunia yang digariskan kepada nilai 44.61 peratus. Rajah 2: Kedudukan Ketersediaan AI Kerajaan Malaysia Dalam Rantau Asia Timur Bagi Tahun 2022. Sumber: Government AI Readiness Index 2022

RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy