89 VARIA RANAH 2023 Kecerdasan Buatan (AI) dalam Perkhidmatan Awam yang MADANI Wesley et al (2019) pula mendapati bilangan kajian terhadap teknologi AI yang dilakukan oleh sektor awam di 25 buah negara (Amerika Syarikat, Canada, China, India, Australia, Brazil, Itali, Spain, Turkiye, United Kingdom, Austria, Azerbaijan, Croatia, Cyprus, Jerman, Greece, Iran, Netherlands, New Zealand, Oman, Portugal, Senegal, Singapura, Korea Selatan dan Emeriah Arab Bersatu) telah menunjukkan trend peningkatan yang konsisten bagi tempoh 2000-2018 (Rajah 1). Kajian yang dilakukan sektor awam kesemua negara terlibat adalah meliputi 10 fungsi utama kerajaan iaitu; i) Perkhidmatan am, ii) Keselamatan dan ketenteraman awam; iii) Pertahanan; iv) Ekonomi; v) Perlindungan alam sekitar; vi) Perumahan dan kemudahan komuniti; vii) Kesihatan; viii) Rekreasi, kebudayaan dan agama; ix) Pendidikan; dan x) Perlindungan Sosial. Daripada 10 fungsi kerajaan yang disenaraikan ini, rata-rata kajian teknologi AI adalah tertumpu kepada tiga fungsi kerajaan iaitu perkhidmatan am; ekonomi; dan perlindungan alam sekitar. Manakala kajian teknologi AI terhadap fungsi pertahan; rekreasi, kebudayaan dan agama; dan pendidikan didapati kurang diberikan perhatian. Rajah 1: Graf Trend Kajian Berkaitan Teknologi AI (2000-2018) Sumber: Wesley et al (2019) Dalam kajian lain, Bernd et al (2018) mendapati tidak ada satu kerajaan pun yang memberikan perhatian kepada keseluruhan spektrum pengaplikasi teknologi AI. Walaupun pelbagai usaha dan inisiatif telah dilaksanakan, sektor awam rata-ratanya masih berada di dalam keadaan sukar dan bergelut untuk mengaplikasikan teknologi AI. Bernd et al (2018) juga telah mengenal pasti empat dimensi cabaran dalam mengimplementasi teknologi AI di dalam sektor awam. Empat dimensi yang terlibat adalah i) dimensi implementasi teknologi AI; ii) dimensi peraturan dan perundangan AI; iii) dimensi etika AI; dan iv) dimensi masyarakat AI. Keempat-empat dimensi ini dilihat berfungsi sebagai perkara asas dalam mengaplikasikan teknologi AI di dalam sektor awam. Bagi isu-isu yang mempunyai sisi kontroversi seperti peluang pekerjaan yang semakin mengecil dek usaha pengautomasian perkhidmatan rutin, kajian Acemoglu dan Pascual (2019) terhadap kaitan antara hubungan pengautomasian kerja-kerja rutin yang menggantikan tenaga manusia menyimpulkan bahawa perlu ada intervensi oleh kerajaan dalam bentuk polisi agar dapat menyeimbangkan keadaan. Ini kerana, tanpa intervensi pihak berkuasa, pengautomasian kerja-kerja rutin akan lebih menguntungkan satu pihak sahaja iaitu pihak penyedia teknologi berkaitan. Manakala dalam kajian yang berkait dengan institusi Syariah di Malaysia, Iqzuan et al (2021) menyatakan bahawa teknologi AI tidak akan dapat menggantikan Penasihat Syariah pada masa hadapan. Ini kerana teknologi AI mempunyai limitasi di dalam alogrithma dan pengiraan matematik terutamanya dalam menzahirkan konsep urbanisme Islam, suatu konsep yang meliputi kehidupan fizikal dan rohani. B. Konsep Malaysia MADANI Perkataan MADANI secara jelas diinspirasi daripada istilah “Madinah”. Dalam kontek sejarah, ia yang merujuk kepada model masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar yang unik dan dipimpin secara serba terangkum dan sejagat oleh tokoh yang menjadi junjungan besar umat Islam iaitu Nabi Muhammad SAW (PMO 2023).
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy