87 VARIA RANAH 2023 Kecerdasan Buatan (AI) dalam Perkhidmatan Awam yang MADANI PENGENALAN Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence) atau AI adalah teknologi yang membolehkan sesebuah mesin meniru kepintaran manusia dengan mempamerkan kebijaksanaan serta berupaya mengadaptasi persekitaran. Bergantung kepada bidang cabaran, antara contoh kepintaran manusia yang dibangunkan di dalam teknologi AI adalah keupayaan mengandai, menaakul, mempelajari, menyelesaikan masalah, menterjemah bahasa, memahami, menyedari dan boleh mengenal pasti ancaman (MOSTI 2021). Perubahan dan kepesatan teknologi di dalam era revolusi perindustrian yang keempat ini pula telah membawa majoriti umat manusia ke suatu tempat dan masa yang tidak pernah terfikir oleh tamadun manusia sebelumnya. Daripada pelbagai cabang teknologi seperti robotik, kenderaan pandu sendiri, bioteknologi dan lain-lain seperti pengkomputeran kuantum, AI merupakan satu elemen utama yang memberikan nyawa terhadap teknologi yang digunakan di dalam kebanyakan sektor dan bidang. Perlumbaan syarikat-syarikat gergasi teknologi seperti Google, Facebook, TESLA, IBM dan Microsoft dalam meneroka dan meningkatkan pelaburan di dalam AI adalah antara petunjuk akan kepentingan teknologi ini pada masa hadapan. Ciri-ciri AI yang pantas serta berketepatan tinggi dalam memproses data mampu menyelesaikan masalah yang rumit dan menghasilkan penyelesaian yang lebih baik dan pantas daripada manusia (Grozs et al 2016). Di dalam Perkhidmatan Awam, teknologi AI berpotensi digunakan untuk meningkatkan pengawasan dan pengawalan, mengautomatisasi tugas-tugas rutin, dan dalam penganalisaan data bagi menghasilkan dasar-dasar awam yang lebih efektif dan menyeluruh. Walau bagaimanapun, penggunaan teknologi AI dalam perkhidmatan awam juga membawa beberapa cabaran seperti keselamatan data, jurang digital, dan perubahan budaya organisasi (Lofred 2019). Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan untuk memastikan penggunaan teknologi AI dilakukan dengan etika dan dasar yang betul, ketelusan dan turut melibatkan penyertaan awam. Artikel ini akan membincangkan idea pelaksanaan teknologi AI di dalam Perkhidmatan Awam menggunakan gabungan pendekatan penaakulan induktif dan pengorientasian konteks. Perdebatan awam dan kontroversi yang ditimbulkan oleh AI juga akan cuba dikupas agar ianya selari dengan nilai-nilai teras yang terdapat dalam Konsep Malaysia MADANI yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. PERNYATAAN MASALAH Meskipun penggunaan teknologi AI dalam perkhidmatan awam secara umumnya dilihat dapat memberikan banyak manfaat, namun terdapat beberapa perkara yang berupaya mengancam kemenjadian perkhidmatan awam sedia ada. Antara permasalah yang dikaitkan dengan AI di dalam perkhidmatan awam adalah i) kekurangan data yang berkualiti; ii) isu keselamatan data; iii) pembuatan keputusan yang memihak kepada keberadaan data; iv) isu kebolehpercayaan; v) masalah penjawat awam yang kurang pengetahuan dan kemahiran serta adaptasi terhadap perubahan teknologi ini; dan yang paling kontroversi adalah; vi) pengecilan saiz sumber manusia bagi kerja berbentuk operatif dan rutin. Oleh yang demikian, sebagai pembuat dasar, adalah wajib bagi kerajaan untuk memastikan teknologi AI bukan sekadar tidak mengancam kemenjadian perkhidmatan awam sedia ada bahkan menjadi satu tambah nilai yang boleh diterima baik oleh umum.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy