66 Penerapan Konsep MADANI dalam Perkhidmatan Awam B. Kreativiti Kreativiti ditakrifkan sebagai tahap di mana pekerja menunjukkan idea atau aplikasi baharu untuk aktiviti dan penyelesaian di tempat kerja (Jalan & Kleiner, 1995). Penjawat awam perlu sentiasa kreatif dalam melaksanakan tugas. Kruyen dan Genugten (2017) menyatakan bahawa kreativiti penjawat awam memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi perkhidmatan awam. Berdasarkan kajian oleh Kruyen dan Genugten (2017) yang dibuat terhadap 43 responden yang merupakan pengurus dalam kerajaan tempatan, kajian mendapati bahawa kreativiti pekerja adalah penting sebagai tindakan mencuba perkara baharu untuk menangani masalah yang dihadapi dengan lebih baik. Dapatan kajian juga mendapati kreativiti bukan merupakan prasyarat utama untuk inovasi (Kruyen & Genugten, 2017). Pandangan Kruyen dan Genugten (2017) berbeza dengan pandangan oleh Callens et al.(2022) yang menyatakan bahawa inovasi perkhidmatan awam melibatkan proses penerokaan idea kreatif, pengetahuan dan perspektif baharu. Penerokaan kreatif terhasil apabila wujudnya persekitaran kreativiti yang aktif di dalam organisasi, dan kerjasama pelbagai pihak dari luar organisasi. Dapatan kajian dengan menggunakan data daripada Perkhidmatan Awam Australia menunjukkan bahawa persekitaran yang menyokong kreativiti dan kepelbagaian kolaboratif berkait secara positif dengan inovasi (Callens et al., 2022). Menurut Baer (2012), beliau menjelaskan bahawa idea kreatif lebih berkemungkinan dilaksanakan apabila ia disokong oleh sumber dan proses organisasi. Oleh itu, organisasi perlu mewujudkan persekitaran yang menggalakkan kreativiti. Sigala dan Kyriakidou (2015) berpandangan inovasi dan kreativiti diiktiraf secara meluas sebagai faktor persaingan paling penting yang boleh menyokong kelangsungan hidup dan menentukan prestasi organisasi. Cook (1998) telah menjelaskan bahawa kreativiti merupakan elemen utama kelebihan daya saing. Kreativiti bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa melalui teknik atau kaedah kreativiti tertentu. Ia amat bergantung pada objektif yang dapat menghasilkan idea-idea baharu dan diubah bentuk sebagai produk dan perkhidmatan yang inovatif (Cook, 1998). Menurut Cook (1998) apabila objektifnya tepat, tahap dan jenis kreativiti dalam organisasi dapat ditingkatkan. Kajian oleh Berman dan Kim (2010) mendapati pengurusan kreativiti adalah pendekatan yang berkesan untuk menghasilkan idea baharu dan penyelesaian baharu serta meluaskan amalan inovasi dalam organisasi awam. Pengurusan kreativiti ialah amalan pengurusan yang memulakan proses inovasi dengan menggalakkan pegawai bertindak melalui kreativiti dan inisiatif (Berman & Kim, 2010). Keputusan kajian oleh Berman dan Kim (2010) dengan menggunakan pelbagai kaedah menunjukkan bahawa dalam tempoh dua tahun, pekerja dan pengurus di bawah Kerajaan Metropolitan Seoul telah berjaya mencadangkan 62,666 idea, di mana 13 peratus telah dipilih untuk pelaksanaan. Selanjutnya, Anne Loewenberger et al. (2014) juga telah melaksanakan kajian keupayaan kreatif dan inovatif dalam persekitaran sektor awam yang mempunyai birokrasi yang kuat iaitu di kawasan Polis Pengangkutan British. Dua isu yang sering kali berlaku dalam organisasi adalah halangan kognitif kepada pemikiran kreatif dan juga halangan kepada organisasi (Anne Loewenberger et al., 2014). Dapatan kajian oleh Anne Loewenberger et al. (2014) adalah signifikan dengan melaksanakan kaedah intervensi yang menggabungkan sokongan pengurusan dengan proses penyelesaian masalah kreatif secara berstruktur. Menurut Anne Loewenberger et al. (2014), sebanyak 600 idea baharu telah berjaya dihasilkan tanpa melibatkan pelaburan kewangan. Idea yang dihasilkan juga didapati telah meningkatkan keberkesanan organisasi (Anne Loewenberger et al., 2014). Selain itu, kajian oleh Anne Loewenberger et al. (2014) juga mendapati sumber telah digunakan secara optimum.
RkJQdWJsaXNoZXIy MTc1NDAy